Thursday 25 April 2013

Apa Yang Wajib Kita Lakukan Sekarang?



Oleh : Tak Bernama
Apa Yang Wajib Kita Lakukan Sekarang?

Parmenides seorang Yunani telah hidup ribuan tahun dahulu. Parmenides ini seorang jurufikir. Lalu dia berfikir bagaimana alam ini terbentuk. Sila jangan salah faham. Bukan mamat ini tidak percayakan tuhan lalu bertanya soalan-soalan ini.

Tetapi ketika Parmenides bertanyakan soalan ini – Islam belum lagi sampai ke Jazilah Arab. Malahan Isa anak Maryam dari hanya akan lahir setelah 500 tahun selepas Parmanides menanyakan soalan ini.

Tidak ada kitab suci untuk dirujuk – justeru dia wajib berfikir sendiri. Lalu dia beranggapan bahawa apa yang ada di alam ini termasuk dunia yang sedang kita kongsi untuk menyedut oksijen ini telah wujud sejak azali lagi.

Sebagai penganut mazhab Shafie – mungkin ramai akan terkejut dengan kenyataan Parmenides. Saya percaya jika Parmenides ini masih hidup pasti dia akan dibaling dengan telur tembelang seperti HQ PKR di Tropicana. Tapi kita wajib sedar – soalan yang dikemukakan adalah di zaman Mark Zuken Berg belum lagi lahir untuk mencipta Facebook.

Lalu dia berfikir lagi. Parmenides beranggapan setiap benda yang wujud di alam ini akan wujud selama-lamanya. Ini membawa tanda dan makna tidak ada apa yang berubah. Yang wujud akan terus wujud. Yang ada akan terus ada. Maka benda yang wujud di alam ini tidak boleh berubah menjadi tiada.

Tapi adalah mustahil masyarakat Yunani ketika itu untuk mempercayai cerita dari Parmenides. Sedangkan apa yang berlaku di depan mata mereka setiap hari sifatnya berubah-ubah. Untuk mempercayai kenyataan Parmenides sama saperti menyuruh warga Selangor mempercayai kata kata yang keluar dari mulut Mat Tyson. Sampai kiamat warga Selangor tak percaya.


Parmenides terperangkap antara memilih yang mana satu yang betul. Pandangan mata yang melihat sifat dunia ini berubah-ubah atau tanggapan kepala otaknya yang mengatakan tidak ada satu pun sebenarnya yang berubah.

Dia terpaksa memilih satu antara dua. Ini sama seperti filem arahan Florian Henckel von Donnersmarck dalam The Tourist yang memaksa Elise Clifton-Ward memilih antara Frank Tupelo atau Alexander Pearce.

Untuk menjadikan anggapannya sesuatu yang benar dan dipercayai warga Yunani - Parmenides mengatakan bahawa apa yang berlaku di depan matanya adalah tidak sama dengan apa yang difikirkan melalui akalnya. Jadi Permanides sama sekali tidak mempercayai apa yang dilihat melalui matanya. Tetapi mempercayai apa yang difikirkan oleh akalnya.

Baginya amat mudah – sebagai jurufikir di zamannya – tugasnya adalah untuk mendedahkan segala apa yang dipandang oleh mata itu hanyalah ilusi. Tidak lebih dari itu.

Seorang lagi jurufikir yang hidup sezaman dengan Parmenides ialah Heraclitus yang berasal dari Ephesus. Heraclitus sama saperti Parmenides sedaya upaya memikirkan bagaimana agaknya alam ini terjadi.

Apabila mendengar fatwa yang dikeluarkan oleh Parmenides – mamat yang bernama Heraclitus ini telah berderai-derai ketawa. Dia memperlekehkan apa yang telah difikirkan oleh Parmenides. Sebaliknya Heraclitus mengeluarkan fatwanya sendiri.

Heraclitus percaya alam ini berubah-ubah. Dia percaya alam ini mengalir, bergerak dan tidak ada satu pun yang kekal. Gunung akan runtuh – nyawa akan melayang – hidup akan mati – siang berganti malam – pertemuan akan berakhir dengan perpisahan.

Heraclitus sekali lagi menyanggah pendapat Parmenides dengan mengatakan dia percaya dengan apa yang dilihat melalui matanya. Maka dari matalah turun ke hati. Mungkin kita boleh andaikan Heraclitus ini lebih ‘romantis’ dari Parmenides.

Justeru kita dapat melihat bagaimana kedua-dua jurufikir ini mempunyai dua jalur pemikiran yang berbeza. Tidak sama dan sama sekali bersetentangan.

Bagi Parmenides – akal menunjukkan dengan jelas bahawa tidak ada apa yang berubah sebenarnya di dunia ini dan pandangan mata sama sekali tidak boleh dipercayai.

Bagi Heraclitus – setiap benda yang berada di alam ini akan mengalir. Mengalir disini membawa tanda dan makna berubah-ubah dan yang paling penting Heraclitus mempercayai pandangan dari mata. Apa yang terjadi di depan mata – maka itulah yang akan dipercayainya.

Soalnya siapa yang benar?

Sabar sebentar!!! Lihat bagaimana kedua-dua jurufikir ini bergasak melalui hujah dan akal. Ini berbeza dengan kita – di negara ini jika kita tidak bersetuju maka kita akan dianggap pengkhianat kepada negara. Jika nasib lebih baik akan dihumban ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping.


Sekarang timbul pula budaya baru. Jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu pandangan maka buku akan dibakar. Diharap budaya bodoh membakar buku ini akan menjadi ikutan dan akan dikenang seribu tahun kemudian.

Sesudah itu - setelah Parmenides dan Heraclitus menetaskan pemikirannya – muncul pula Empedocles. Empedocles ini lahir di Sicily. Empedocles ingin meleraikan kekusutan antara pandangan yang dikemukakan oleh dua jurufikir terdahulu.

Empedocles berpendapat bahawa punca percanggahan mereka adalah kecil sahaja tetapi modus operandinya sama iaitu mencari kebenaran. Empedocles tahu bahawa percanggahan yang berlaku antara kedua-dua jurufikir itu adalah sesuatu yang baik dan wajib untuk diraikan.

Lalu Empidocles bersetuju dengan apa yang telah difikirkan oleh Parmenides bahawa tidak ada apa-apa yang berubah di alam ini. Nah!! Air tidak akan bertukar menjadi kupu-kupu. Pokok tidak akan berubah menjadi ikan keli. Lobak merah tak mungkin akan menjadi Ibrahim Ali. Ini hakikat. Ini lojik. Ini rasional. Ini akli.

Tetapi Empidocles juga bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Heraclitus bahawa kita mesti percaya dengan apa yang kita lihat melalui mata. Ini kerana matahari memberika kita siang. Bulan memberikan kita malam. Sungai di depan mata itu benar. Laut di belakang rumah itu juga benar. Ini semua adalah pandangan mata.

Lihat bagaimana Empidocles telah menjadi orang tengah untuk menyatukan pandangan dari dua insan yang berlainan jalur pemikiran. Lihat bagaimana Empidocles ini telah menjadi pendamai antara dua pemikiran yang jelas bertentangan. Maka Empidocles telah menjadikan kedua-dua pandangan ini adalah benar di mata warga Yunani.

Justeru kebenaran bukan dimonopoli oleh hanya satu pihak. Kebenaran adalah hak milik kita semua. Ini juga adalah satu hakikat yang wajib kita terima.





Apa Yang Wajib Kita Lakukan Sekarang?

Di Malaysia ini sekarang sedang jelas terang lagi bersuluh permusuhan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Barisan Nasional akan menggunakan segala daya yang ada untuk mempertahankan kuasa yang dipegang selama lebih lima puluh tahun. Tidak mempercayai hakikat ini samalah seperti kita tidak percaya bahawa Ibrahim Ali itu sayangkan Mahathir Mohamad.

Pakatan Rakyat juga akan menggunakan segala daya yang mereka ada untuk menibai Barisan Nasional seterusnya merebut kuasa dengan membaraikan kuasa Barisan Nasional. Ini dia politik di Malaysia.

Apa beza kedua-dua perikatan ini? Memang betul kedua-duanya sekiranya berkuasa akan menggunakan sistem ekonomi yang sama. Tidak ada apa-apa yang berubah. Tetapi apa yang perlu kita terima ialah pakatan pembangkang yang ada sekarang ini adalah yang terbaik pernah lahir di Malaysia dan persepsi warga melihat Pakatan Rakyat akan menjadi kerajaan yang lebih baik dari Barisan Nasional. Dalam politik persepsi adalah segala-galanya.

Umum mengetahui. Bahkan telah menjadi satu rahsia umum bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Democratic Action Party (DAP) ini mempunyai jalur politik yang berbeza. PAS dan DAP ini juga mempunyai rukun iman yang tidak sama.

Ideoloji mereka jauh panggang dari api. PAS dengan slogan Negara Islam dan DAP dengan Malaysian Malaysia. Sekali kita lihat bahawa pertarungan ini sama saperti pertarungan jalur pemikiran antara Parmenides dan Heroclitus.

Umum juga mengetahui – sekiranya isu Negara Islam digunakan oleh Barisan Nasional maka Pakatan akan pecah. Sekiranya isu Malaysian Malaysia yang dikaitkan dengan malaon bernama Lee Kuan Yew digunakan maka Pakatan akan goyah. PAS akan berlanggar dengan DAP. Pakatan akan barai dan sedia untuk ditalkinkan.





Apa Yang Wajib Kita Lakukan Sekarang?

Jawaban hanya satu. Untuk menjamin kekuatan dan keutuhan Pakatan kita hanya ada satu pilihan. Untuk membaraikan United Malays National Organisation kita hanya ada satu pilihan.

Apa yang wajib kita lakukan sekarang ialah kita wajib menjadi Empedocles. Apa yang wajib kita lakukan sekarang ialah menjadi penyatu kepada dua ideoloji berbeza ini. Ini peranan kita. Ini peranan anak-anak muda. Ini peranan Parti Keadilan Rakyat.

Dalam kita sibuk-sibuk dengan perseteruan perbezaan Malaysian Malaysia dan Agenda Negara Islam – kita terlupa bahawa sebenarnya kita berkongsi banyak persamaan lain. Kita lupa bahawa sebenarnya modus operandi kita adalah sama . Cuma jalan yang dipilih sahaja berbeza.

Pakatan dengan jelas akan membasmi kemiskinan. Akan menentang rasuah. Akan melawan ketidakadilan. Akan melawan hukum rimba. Akan membaraikan sistem ekonomi yang tempang. Akan membaik pulih sistem kehakiman. Ini perkara yang Pakatan Rakyat berkongsi persamaan. Bukankah ini juga asas dan prisip yang telah diajar di dalam kitab suci yang kita anuti.

Yang perlu kita cari ialah titik pertemuan. Bukan titik perbezaan. Itulah yang dilakukan oleh Empedocles ribuan tahun dahulu untuk menyatukan pemikiran warga Yunani dan sekarang adalah giliran kita untuk menjadi Empidocles untuk rakyat Malaysia.


Wassalam.
 

No comments:

Post a Comment