Saturday 20 April 2013

Subsidi Gas: Untuk Rakyat atau Kroni?

Selain daripada subsidi petrol dan diesel di pam minyak kerajaan melalui Petronas juga memberi subsidi gas kepada Tenaga Nasional Berhad dan Penjanakuasa Bebas atau Independent Power Producer (IPP). Subsidi ini diberi kepada mereka untuk menanggung beban harga gas asli yang digunakan untuk menjanakuasa elektrik bagi menampung permintaan bekalan elektrik seluruh Malaysia. Bil subsidi gas ini ditanggung terus oleh Petronas seperti yang dinyatakan didalam Laporan Kewangan Tahunan Petronas 2011: 
Subsidi Gas 2011: RM4.9bil (TNB), RM6.7bil (IPP)

Pada tahun 2011 sahaja sebanyak RM11.6bil subsidi gas diperuntukkan kepada sektor janaan kuasa iaitu RM4.9bil kepada TNB dan RM6.7bil kepada IPP di seluruh negara. Subsidi ini jauh lebih besar daripada subsidi petrol dan diesel juga antara subsidi terbesar ditanggung kerajaan melalui Petronas. Subsidi gas ini tidak dinafikan penting untuk menurunkan kos bil elektrik yang ditanggung pengguna dikalangan rakyat biasa. Walaubagaimanapun benarkah subsidi gas yang diberi kepada IPP ini adil dan tidak menekan mana-mana pihak?

Sebelum kita terus kepada angka-angka lain yang saya akan tunjukkan saya ingin menerangkan kepada kawan-kawan tentang perihal penjanakuasa bebas iaitu IPP ini. IPP adalah pengeluar kuasa persendirian yang terdiri daripada syarikat-syarikat swasta. IPP hanya menjana kuasa manakala TNB bertanggungjawab menjana dan mengedarkan (menjual) kuasa elektrik ini kepada pengguna di seluruh Malaysia. Contoh-contoh syarikat IPP adalah Malakoff Bhd (Syed Mokhtar), Tanjong (Ananda Krishnan), YTL Power (Yeoh TIong Lai), Genting Sanyen (Lim Kok Thay) dan lain-lain.

Pada awal tahun 90-an kerajaan telah menandatangani perjanjian belian kuasa atau purchase power agreement (PPA) untuk membenarkan IPP menjana kuasa dan dibeli oleh TNB bagi menampung permintaan bekalan kuasa yang semakin meningkat. Di bawah perjanjian ini, TNB wajib membeli segala kuasa yang dijana oleh IPP walaupun ia melebihi permintaan bekalan pengguna dan tidak digunakan. Perjanjian ini tidak pernah diterbitkan untuk tatapan umum dan kekal menjadi dibawah akta rahsia rasmi kerajaan sehingga hari ini.

Untuk pengetahuan kawan-kawan, kuasa elektrik yang dijana tetapi tidak digunakan akan disimpan sebagai simpanan berjaga-jaga sekiranya berlaku masalah putus bekalan elektrik atau masalah di pencawangkuasa. Simpanan ini dipanggil margin rizab atau reserve margin. Menurut laporan Suruhanjaya Tenaga paras rizab margin optimum adalah pada 20% lebih atau kurang adalah tidak sesuai dan tidak perlu. Suruhanjaya Tenaga pada tahun 2010 melaporkan margin rizab kuasa berada pada paras setinggi 45%: 

Ini bermakna margin rizab kuasa negara kita lebih tinggi 25% pada paras yang optimum. Mengapakah perkara ini berlaku? Ia tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh perjanjian PPA yang mewajibkan TNB membeli kuasa yang dijana oleh IPP walaupun kuasa elektrik itu tidak digunakan dan melebihi permintaan. Hal ini menekan Petronas yang terpaksa menanggung puluhan billion subsidi gas tiap-tiap tahun kepada IPP. Sekarang mari kita lihat berapa pula wang yang dibelanja oleh TNB untuk membeli kuasa daripada IPP: 

Daripada kos menjanakuasa sebanyak RM23bil oleh Petronas, RM 14bil adalah untuk membeli kuasa daripada IPP. Ini bukan sahaja membebankan Petronas malah ia membebankan TNB dan kos ini secara tidak langsung terpaksa ditanggung pengguna dengan kenaikan tarif bil elektrik. Walaubagaimanapun kerajaan oleh kerana pilihanraya semakin hampir ketika itu, menangguhkan kenaikan tarif elektrik lalu mengeluarkan sejumlah wang sebagai subsidi untuk mengurangkan beban TNB: 


Lebih kurang RM2bil tambahan dalam bentuk tunai dan perbezaan harga bahanapi ditanggung kerajaan sebagai pampasan atas sebab penangguhan kenaikan tarif elektrik. Adakah perkara ini menguntungkan kita semua? Ataupun menguntungkan tokey-tokey IPP yang dijamin pendapatan tetap oleh TNB walaupun masih menerima subsidi gas oleh Petronas? Sekarang kita rujuk laporan kewangan YTL Power salah satu IPP terbesar dan tertua di Malaysia: 

YTL Power pada tahun 2012 sahaja menjual sejumlah RM11bil elektrik kepada TNB. Adakah jumlah ini munasabah mengambilkira rizab margin kuasa negara yang tinggi dan subsidi gas yang diterima mereka? Bukankah sekiranya PPA ini tidak berat sebelah, kerajaan, Petronas dan TNB tidak perlu menanggung lebihan kuasa yang dijana IPP ini? 

Pakatan Rakyat didalam Manifesto Harapan Rakyat berjanji menurunkan tarif bil elektrik untuk mengurangkan beban bulanan yang ditanggung. Ramai yang salahanggap apabila kerajaan berjanji menurunkan tarif ini kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah wang lagi untuk menampung kos menurunkan tarif elektrik ini. Tanggapan ini adalah salah kerana Pakatan sebenarnya bercadang menurunkan tarif ini dengan menyemak perjanjian PPA diantara kerajaan, TNB dan IPP. Pakatan juga bercadang mengurangkan rizab margin kepada tahap optimum dan TNB tidak lagi perlu membeli kuasa berlebihan walaupun ia tidak digunakan. 

Perjanjian PPA untuk IPP generasi pertama akan tamat pada hujung 2016. Ini bermakna kerajaan akan berunding dengan IPP sedia ada samada terus dengan perjanjian asal atau merombak beberapa klausa agar ia tidak membebankan siapa-siapa. Haruslah dicari satu jalan agar semua pihak berada dalam situasi menang-menang tak kira kerajaan, Petronas, TNB, IPP atau pengguna (rakyat) itu sendiri.

Sudah saya buktikan diatas menurunkan tarif elektrik bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan, dengan syarat kerajaan bersedia berlaku adil kepada semua pihak dalam hal pemberian subsidi ini. Semoga kekayaan khazanah negara kita dapat dinikmati secara keseluruhannya oleh rakyat terbanyak dan bukan berlegar-legar sekadar di tangan tokey-tokey kaya. 

Sempena hari penamaan caon hari ini saya mengucapkan selamat berjaya kepada semua calon harapan rakyat untuk kita ke Putrajaya. Semoga pada 6 Mei 2013 ada sirna baru untuk kita, anak cucu kita dan masa depan negara kita. Inikalilah, UBAH!

No comments:

Post a Comment