Sunday 19 May 2013

Surat Terbuka Kepada Pejuang Melayu.

Kehadapan pejuang melayu tulen yang gagah lagi perkasa,

Pasca PRU13 menyaksikan parti keramat United Malays National Organisation mengekalkan kuasa mereka di peringkat persekutuan. Maka bersoraklah anda semua kerana umat melayu berjaya mengekalkan ketuanan mereka di atas bumi Malaysia ini. Biar kalah undi popular, asalkan kerusi yang dimenangi cukup untuk membentuk kerajaan. Tanpa UMNO terhapuslah segala hak istimewa melayu dan berkuasalah kaum pendatang di bumi bertuah ini.

Pejuang-pejuang melayu seperti anda berjuang habis-habisan agar umat melayu sekalian akan terus makmur dan sejahtera. BR1M yang dijanjikan akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,200 adalah nikmat terbesar yang diberi kerajaan kepada umat melayu. Tak mengapa umat melayu tetap berada di kelompok termiskin di negara ini asalkan ketuanan melayu dikekalkan! 

Pejuang melayu yang hebat lagi disegani,

Anda harus kekalkan parti keramat UMNO di Malaysia agar tanah anda tidak dijual kepada orang asing. Tanah rizab melayu harus dijaga agar anak cucu anda semua ada tempat berteduh dan tidak dihalau diatas bumi sendiri. Jangan biar tanah melayu di bumi bertuah ini dijual kepada orang asing! Tanah rizab melayu 3 juta hektar selepas merdeka tinggal sejuta hektar sekarang. Ini yang kita perlu selamatkan. Takkan mahu merempat di tanah tumpah darah sendiri? Sia-sia berjuang demi memenangkan pejuang melayu tulen di PWTC. Tanah di Johor dibangunkan untuk kepentingan umat melayu!

Pejuang melayu harus terus berjuang menolak parti pendatang seperti DAP. Melayu (dan mamak) Pulau Pinang ditindas di Pulau Pinang. Semakin ramai melayu berhijrah ke tanah besar kerana dihalau secara sistematik oleh DAP. Sebelum DAP memerintah Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan yang juga cina. Melayu di bawah Gerakan hidup makmur dan sejahtera. DAP mahu membawa keluar Pulau Pinang dari Malaysia sama seperti Singapura dibawa keluar 48 tahun dahulu.




Pejuang melayu berdarah suci,


DAP berhasrat menghakis hak istimewa melayu. Di Gelang Patah ketua pendatang Lim Kit Siang mengalahkan bekas Menteri Besar Johor Dato' Ghani Othman. DAP sengaja memainkan api perkauman dengan meletakkan pemimpin chauvinisme di Gelang Patah. Sedangkan kerusi itu adalah kerusi UMNO! Salah kerusi MCA selama ini. Mengapa DAP bersifat kurang ajar di bumi kelahiran parti keramat ini?!



Sedarlah pejuang melayu sekalian. Jangan sekali terlena mahupun terleka. Gunung tinggi dimiliki cina dibina kasino. Pulau-pulau melayu dimiliki cina dibina resort percutian mewah. Lesen judi diberi kepada cina. Apa lagi yang tinggal kepada melayu? Sanggupkah kita perjudikan masa depan umat kita kepada pendatang?! Gunung, pulau, tanah diberi kepada pendatang. Siapa yang beri kepada mereka? DAP!

UiTM milik melayu, benteng terakhir pertahanan umat melayu. Mengapa cina mahu ia dibuka kepada semua kaum? UiTM adalah hak milik mutlak melayu! Pelajar antarabangsa diberi pengecualian di UiTM kerana mereka bukan kaum pendatang. Kita jangan sekali-kali tunduk kepada mereka!

Pejuang melayu agung sekalian,

Sudah tiba masanya kita bangkit menentang kaum pendatang. Sudah tiba masa kita mempertahan keagungan bangsa melayu. Jangan lagi tidur dan lena. Bangkitlah pejuang-pejuang melayu sekalian. Masa depan dan kelangsungan bangsa kita bergantung kepada parti keramat UMNO. Biar 50 tahun lagi tanah rizab melayu berkurang, biar 50 tahun lagi gunung, pulau dan tanah diserah kepada pendatang. Biar melayu terus menikmati BR1M dan berada dibawah kategori termiskin. Asalkan UMNO kekalkan ketuanan umat kita di bumi ini.

Terima kasih UMNO! Terima kasih pejuang melayu.

HIDUP MELAYU!

p/s: Baca dengan semangat berkobar-kobar. Sedarlah melayu sekalian. 

Saturday 18 May 2013

Turunkan Harga Kereta: Versi Barisan Nasional


oleh: Norman

Walaupun BN mengatakan bahawa janji Pakatan Rakyat menurunkan harga kereta adalah janji untuk membeli undi, tidak realistik dan membebankan negara akhirnya mereka juga menjanjikan penurunan harga kereta didalam akujanji BN yang dibentangkan Najib Razak sebelum PRU13 yang lepas. BN mencadangkan penurunan kereta secara berperingkat antara hingga 20%-30%. Lihat akujanji BN dibawah:

Janji Menurunkan  Harga Kereta





Walaubagaimanapun metodologi atau cara menurunkan harga kereta yang dicadangkan BN adalah samar-samar dan tidak jelas. Berbanding dengan Pakatan Rakyat didalam Manifesto Rakyat mencadangkan penurunan harga kereta melalui pengurangan duti eksais secara berperingkat selama 5 tahun dengan niat menghapuskan keseluruhan duti eksais selepas 5 tahun. Dengan itu saya mengkaji apa sahaja yang dikatakan menteri-menteri UMNO tentang bagaimana cara menurunkan harga kereta mengikut cara mereka kerana mereka mengatakan mengurangkan duti eksais akan menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan billion-billion tiap-tiap tahun dan ia juga akan menjejaskan industri automotif negara.



BAGAIMANA?



Berikut adalah keratan akhbar tentang bagaimana BN mahu menurunkan harga kereta: 




TIADA CARA JELAS MENURUNKAN HARGA KERETA


MENTERI TAK FAHAM DUTI EKSAIS BAKAL DIHAPUSKAN


TIADA CADANGAN JELAS DARI MENTERI YANG SAMA

CADANGAN KURANGKAN KOS PENGELUARAN KERETA

MUKHRIZ CADANGKAN PENURUNAN KOS PENGELUARAN
Di atas adalah keratan akhbar tentang penurunan harga kereta yang dicadangkan oleh BN. Sama ada cara menurunkan harga kereta itu belum jelas atau akan diperhalusi kemudian ada juga cadangan seperti menurunkan kos pengeluaran (cost of production) dengan berbincang dengan pengeluar-pengeluar kereta seperti Proton, Toyota, Honda dan sebagainya. Sebelum saya mengulas tentang cadangan berbincang dengan pengeluar kereta untuk menurunkan kos pengeluaran kereta elok jikanya kita melihat kos membeli kereta termasuk kos membayar cukai dan sebagainya. 

KOS MEMBELI SEBUAH KERETA

Selain daripada membayar kepada pengeluar kereta, pembeli kereta juga membayar sejumlah cukai kepada kerajaan. Cukai-cukai yang dibayar kepada kerajaan  apabila kita membeli kereta adalah: 

  1. Cukai jualan 10% (kereta tempatan dan import)
  2. Cukai import 10%-30% bergantung kepada jenis model dan negara (kereta import sahaja)
  3. Duti eksais 65%-105% mengikut model dan kapasiti enjin (kereta tempatan dan import)
Jadual cukai dan duti eksais untuk dibayar kepada kerajaan apabila membeli kereta boleh dirujuk di: http://www.maa.org.my/info_duty.htm




Apabila anda membeli kereta proton anda akan dikenakan minimum 75% duti eksais. Ini yang menyebabkan kereta Proton dijual lebih murah di negara lain berbanding Malaysia kerana mereka tidak mengenakan duti eksais berlebihan seperti yang dikenakan kerajaan Malaysia. Malangnya BN tidak bercadang menurunkan duti eksais dalam masa terdekat sedangkan yang membuatkan harga kereta di Malaysia tinggi adalah duti eksais dan bukan harga kereta itu sendiri. 

MENURUNKAN KOS PENGELUARAN?

Sebelum ini kerajaan mencadangkan penurunan harga kereta melalui penurunan kos pengeluaran oleh pengeluar kereta. Ini bermakna kerajaan mengarahkan pengeluar seperti Proton, Toyota, Honda dan sebagainya menjimatkan kos mengeluarkan sebuah kereta. Bagaimanakah ia akan dijalankan masih menjadi tandatanya dan samar-samar. Pertamanya mari kita melihat berapakah kos operasi pengeluar kereta dan margin keuntungan mereka: 


LAPORAN KEWANGAN TAHUNAN PROTON


Margin keuntungan proton yang sangat kecil di atas, daripada RM8.9bil hasil tolak RM8bil kos jualan tinggal RM980 juta keuntungan kasar. Kurang daripada 10% margin kasar (gross margin), jadi bagaimana Proton mahu mengurangkan kos pengeluaran apabila margin mereka sudah sedia kecil. Adakah kerajaan ingin menekan Proton supaya mengurangkan kos pengeluaran dengan berkompromi terhadap ciri-ciri tertentu kereta seperti ciri keselamatan? Dari segi apakah yang pengeluar kereta mampu menjimatkan kos? Tiada power window? Tiada airbag? Tiada reverse sensor? 

Industri auto sudah mempunyai margin yang kecil seperti mana digambarkan didalam artikel daripada The Edge : http://www.theedgemalaysia.com/personal-finance/237986-compressed-margins-for-auto-industry.html. Toyota dan Honda juga mempunyai margin keuntungan yang kecil dan tidak mungkin mereka dapat mengurangkan lagi kos pengeluaran kereta tanpa berkompromi terhadap beberapa ciri pada kereta yang dikeluarkan. Rujuk laporan kewangan tahunan UMW Toyota Sdn Bhd dan Honda (Malaysia) Sdn Bhd: 

LAPORAN KEWANGAN TAHUNAN TOYOTA

LAPORAN TAHUNAN KEWANGAN HONDA

KESAN PENURUNAN KOS PENGELUARAN

Jika kerajaan meneruskan cadangan menurunkan harga kereta dengan berbincang bersama pengeluar kereta untuk menurunkan kos pengeluaran selain ia memberi kesan negatif kepada industri automotif, ia juga akan membahayakan pembeli kereta. Apabila pengeluar kereta terpaksa menurunkan kos operasi mereka, ciri-ciri tertentu seperti ciri keselamatan akan dikompromi. Kemungkinan kualiti kereta yang dikeluarkan akan lebih rendah dan tidak mencapai piawaian yang ditetapkan. Ini adalah situasi kalah-kalah (lose-lose situation) kepada industri automotif dan juga pengguna kereta manakala kerajaan terus mengutip cukai dan duti eksais seperti biasa.

KESIMPULAN

Saya cuba mencari satu cara konkrit yang dibentangkan BN untuk menurunkan harga kereta selain daripada menurunkan kos pengeluaran, malangnya saya menemui jalan buntu. Kerajaan harus telus dan jujur kepada rakyat bagaimana mereka akan menurunkan harga kereta sebanyak 20%-30%. Jika mereka boleh meminta Pakatan Rakyat membentangkan cara membiayai kos program Manifesto Pakatan Rakyat, BN juga tidak haruslah meludah ke langit dengan hanya berjanji tanpa membentangkan cara-cara menunaikan janji tersebut. 

Kos pengeluaran jika terus ditekan untuk diturunkan bukan sahaja akan memberi kesan negatif kepada industri automotif malah akan membahayakan pengguna/pembeli kereta. Harga kereta di Malaysia bukanlah mahal disebabkan harga yang dikenakan pengeluar, ia mahal kerana kerajaan mengenakan duti eksais yang tinggi. 

p/s: Anda boleh melihat bagaimana Pakatan Rakyat bercadang menurunkan harga kereta dan cara-caranya di sini: http://oskortos.blogspot.com/2013/04/turunkan-harga-kereta-negara-bakal.html

*tunggu la lagi 5 tahun dan undi Pakatan Rakyat kalau nak harga kereta turun. nak harapkan BN? :)


Hutang Negara Bahagian 2: Mengapa Hutang Kerajaan Tinggi?


oleh: Norman

Di bahagian pertama artikel tentang hutang negara sebelum ini saya menerangkan kepada kawan-kawan tentang apa itu hutang awam, bagaimana kerajaan meminjam dan trend hutang kerajaan Malaysia sejak tahun 90-an. Sesebuah negara berhutang bukanlah perkara yang asing atau tidak normal. Hampir keseluruhan negara didunia meminjam wang melalui hutang (bon) sama ada untuk menampung perbelanjaan tahunan kerajaaan atau untuk membuat pelaburan. Hutang mana-mana kerajaan yang tinggi berbanding KDNK negara tidak semestinya melambangkan negara tersebut berada dalam keadaan terhimpit atau akan mengalami kebankrapan. 
HUTANG AWAM NEGARA TERPILIH SETAKAT 2011

Harus diketahui bahawa perbandingan hutang kerajaan Malaysia dengan mana-mana negara adalah kerja yang tidak bijak. Tidak semestinya sebuah negara itu berhutang tinggi mereka tidak mengurus ekonomi dengan baik juga sebaliknya, tidak semestinya negara yang mempunyai hutang kerajaan yang rendah ekonomi mereka diurus dengan baik. Perbandingan hutang kerajaan Malaysia dengan hutang kerajaan negara lain kebiasaannya tidak mengambil kira berapa KDNK mereka, kekuatan ekonomi mereka, populasi negara dan sebagainya. Walaupun hutang kerajaan Singapura tinggi dan melebihi 100% berbanding KDNK mereka tidak menggunakan hutang yang diterbitkan untuk menampung perbelanjaan negara. Hutang (bon) di Singapura digunakan untuk pelaburan oleh syarikat milik kerajaan Singapura seperti Temasek dan juga agensi wang pencen pekerja Singapura CPF (seperti KWSP di Malaysia): 

PERBELANJAAN LEBIHAN KERAJAAN SINGAPURA *KECUALI 2010
Lihat jadual diatas bagaimana kerajaan Singapura mempunyai perbelanjaan lebihan (hasil>perbelanjaan) tiap-tiap tahun kecuali tahun 2010  bagaimanakah hutang kerajaan Singapura berada pada paras 106% daripada KDNK jika belanjawan mencatat lebihan? Berbanding Malaysia yang berhutang untuk menanmpung perbelanjaan, Singapura berhutang untuk menampung permintaan pelaburan oleh CPF dan pelabur asing.

Krisis ekonomi Eropah

Pada tahun 2007 ekonomi global melanda kemelesetan terburuk dalam sejarah peradaban moden. Krisis ekonomi ini berpunca dari krisis di USA akibat masalah pinjaman subprima yang seterusnya memberi kesan kepada ekonomi di Eropah. Kesan kemelesetan ekonomi USA menggugat keyakinan para pelabur terhadap kekuatan ekonomi negara-negara di Eropah. Sebelum krisis ekonomi global pada tahun 2007-2008 kebanyakan negara di Eropah mempunyai hutang kerajaan pada paras yang tinggi iaitu 60%-90% berbanding KDNK. Ia dianggap normal kerana ekonomi di Eropah sebelum krisis adalah rancak dan pesat: 


HUTANG DI NEGARA EROPAH SEJAK TAHUN 95

Selepas 2008 keyakinan pelabur termasuk peminjam bon (hutang) kerajaan di negara-negara Eropah seperti Greece, Portugal, Spain, Ireland menurun mendadak. Akibatnya kebanyakan peminjam bercadang untuk menebus hutang kerajaan negara-negara (memohon bayaran balik hutang) ini menjadikan kadar faedah (interest rate) untuk bon yang diterbitkan meningkat secara mendadak lalu menjadikan kos untuk membayar kadar faedah bon semakin tinggi dan ia menambah beban kewangan kerajaan negara-negara tersebut. 

Kita sering melihat bagaimana sesetengah pihak membandingkan masalah hutang di Greece, Spain, Ireland dan sebagainya. Tidak dinafikan paras hutang yang tinggi di negara tersebut menyumbang kepada krisis ekonomi yang berlaku sekarang walaubagaimanapun berbeza dengan Malaysia, negara-negara tersebut tidak mempunyai kuasa penuh terhadap sistem kewangan negara mereka. Sistem satu matawang (uni-currency) Euro yang digunapakai kebanyakan negara di Eropah menyebabkan mereka tidak boleh mengawal bekalan wang (money supply) atau bahasa mudahnya tidak dapat mencetak wang mereka sendiri. Matawang Euro dikawal oleh satu agensi pusat iaitu European Central Bank (ECB) yang diseliakawal bersama oleh semua negara yang menggunakan matawang Euro. Ini menjadikan krisis di Greece semakin buruk dan paras hutang mereka semakin meningkat kerana mereka tidak dapat mengawal bekalan wang untuk negara mereka sendiri. ECB juga berperanan mengawal kadar faedah yang sangat penting sebagai mekanisme untuk menangani kelembapan ekonomi.

Berbanding di Malaysia, negara kita mempunyai Bank Negara Malaysia yang mempunyai kebebasan untuk mengawal bekalan wang, kadar faedah seterusnya boleh bertindakbalas terhadap kelembapan ekonomi luaran dan dalaman. Jadi untuk menggambarkan bahawa Malaysia bakal menjadi seperti Greece, Spain atau Ireland adalah tidak sesuai sama sekali kerana struktur ekonomi dan kewangan kita yang berbeza dengan mereka.

Realiti Hutang Negara


Hutang negara dikatakan berada pada paras kritikal kerana hampir mencecah had siling  hutang negara iaitu 55% daripada KDNK negara. Akta Pinjaman Tempatan (1959) mengehadkan hutang negara pada had siling 55% walaubagaimanpun ia boleh dipinda bila-bila masa jika mendapat sokongan majoriti di parlimen. Ini bermakna had hutang negara bukanlah suatu tanda aras samada paras hutang kerajaan itu berada di paras bahaya atau tidak.



Walaubagaimanapun ini bukanlah alasan untuk kerajaan berhutang dengan sewenang-wenangnya. Rakyat seperti kita berhak tahu apa tujuan kerajaan meminjam dengan banyak dan kemana pergi wang yang dipinjam itu. Saya seringkali memberitahu kawan-kawan bahawa isu yang paling UTAMA yang patut ditumpukan oleh kita semua adalah apa yang dibelanjakan oleh kerajaan, apa hasil kerajaan berhutang dan sebagainya. Berhutang untuk pembangunan negara itu dibenarkan tapi benarkah wang pinjaman benar-benar disalurkan untuk pembangunan yang akan membawa faedah kepada negara dan rakyat?

Laporan Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai jenis pembaziran atas nama projek pembangunan, belian aset kerajaan dan sebagainya. Disamping itu kerajaan juga seringkali terlebih belanja daripada jumlah belanjawan yang diperuntukkan. Rujuk Laporan Ketua Audit Negara 2011: 
HAMPIR RM20bil TERLEBIH BELANJA PADA TAHUN 2011

Jadi mengapakah kerajaan persekutuan meminjam dan berhutang sedangkan tiap-tiap tahun berlaku pembaziran sehingga menyebabkan kerajaan sentiasa berbelanja melebihi daripada jumlah wang yang diperuntukkan. Contoh-contoh pembaziran yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara: 
PROJEK JALAN BERNILAI RATUS JUTAAN RINGGIT TENAT

PERUNTUKAN KEPADA UNIVERSITI TAPI PROJEK TAK DILAKSANA

PROJEK BERNILAI JUTAAN RINGGIT DENGAN TENDER TERHAD ATAU RUNDINGAN TERUS

Diatas adalah contoh-contoh pembaziran kerajaan persekutuan seperti projek pembangunan yang sakit, pemberian tender terhad dan tidak terbuka dan sebagainya. Banyak lagi pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan yang mana nilai yang dibazirkan ini boleh mencecah puluhan billion setiap tahun jadi kenapa kerajaan perlu meminjam dan berhutang? Anda juga boleh melihat senarai pembaziran kerajaan negeri dibawah BN di: Audit MelakaAudit JohorAudit Sabah dan Audit Sarawak

Setiap tahun perbelanjaan kerajaan persekutuan untuk membayar faedah keatas hutang kerajaan adalah semakin meningkat dan hampir mencecah RM20bil setiap tahun. Rujuk laporan ketua audit negara dibawah: 

Oleh sebab hutang yang semakin meningkat kerajaan terpaksa menanggung bayaran faedah tahunan yang semakin tinggi. Jika segala kebocoran dan ketirisan dapat dielakkan, sudah tentu kerajaan tidak perlu meminjam dengan lebih banyak malah kerajaan boleh mula membayar hutang-hutang dengan lebih awal seterusnya mengurangkan jumlah hutang negara.

Kerajaan persekutuan sering berdolak dalih tentang bahawa kerajaan perlu berjimat dan selalunya yang akan dikorbankan adalah subsidi kepada rakyat. Apabila ingin berjimat pertama yang akan dipotong adalah subsidi kepada rakyat. Kerajaan tidak pernah berbicara tentang pembaziran puluhan billion tiap-tiap tahun dan bagaimana kerajaan seringkali terlebih belanja (overspent). Akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa akibat pemotongan subsidi. Hutang kerajaan terus juga meningkat saban tahun. 

Projek gagal sepeti PKFZ, NFC, bail-out kepada Perwaja, MAS yang melibatkan billion-billion ringgit menyumbang kepada kenaikan perbelanjaan kerajaan. Kesudahannya rakyat (pembayar cukai) juga yang terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang akibat projek-projek mega yang gagal dan 'projek' bail-out kroni ini.

Teori Ekonomi Keynesian

Teori ekonomi Keynesian menyatakan apabila ekonomi negara meleset, kerajaan haruslah berbelanja lebih daripada biasa untuk menampung kekurangan pelaburan yang ditinggalkan oleh sektor swasta apabila ekonomi meleset. Sepatutnya kerajaan mengurangkan hutangnya apabila ekonomi bertambah baik dan semakin berkembang. Anda sudah lihat bagaimana dibawah Dato Sri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan (1990-1997), beliau menurunkan hutang negara kerana ekonomi negara yang semakin berkembang: 


Apabila krisis ekonomi melanda pada tahun 1997 (DSAI dipecat), kerajaan mula berbelanja lalu meningkatkan hutang, tetapi apabila ekonomi mula berkembang pada awal 2000 kerajaan tidak mengurangkan perbelanjaan malah hutang kerajaan semakin bertambah sehingga sekarang. 

Kesimpulan

Di bahagian pertama artikel tentang hutang negara saya menerangkan apa itu hutang kerajaan dan bagaimana kerajaan meminjam dan berhutang. Di bahagian artikel ini saya menerangkan perbezaan krisis hutang di Eropah seperti Greece, Spain dan Ireland dan juga pembaziran kerajaan persekutuan dalam mengurus perbendaharaan negara. Objektif atau fokus utama kita sebagai rakyat haruslah tertumpu kepada BAGAIMANA kerajaan membelanjakan wang negara dan KE MANA  wang itu dibelanjakan. Segala pembaziran, kebocoran dan ketirisan ini menyumbang kepada kenaikan pinjaman dan hutang kerajaan setiap tahun. 

Memang paras hutang kerajaan berbanding KDNK masih lagi pada paras yang selesa walaubagaimanapun kerajaan tidak harus terus berbelanja sewenang-wenangnya apatah lagi membazir  wang dengan menanggung hutang kroni. Rakyat mahukan kerajaan yang telus memberi tender projek secara terbuka kepada kontraktor yang benar-benar layak dan bukan kontraktor rakan-rakan atau kroni terdekat. Hutang kerajaan boleh diturunkan sekiranya setiap wang kerajaan dibelanja dengan berhemah dan bernilai untuk setiap ringgit.

Kebobrokan Barisan Nasional sebagai kerajaan selama lebih 50 tahun membazir ratusan billion tiap-tiap tahun haruslah ditentang oleh semua rakyat Malaysia. Dalam tempoh 5 tahun seterusnya kita tidak tahu projek mega apa pula yang akan dijalankan kerajaan dan berapa pula perbelanjaan dan hutangnya nanti. Ingat, hutang negara bukan hal utama, yang PALING penting bagaimana wang negara dibelanjakan kerajaan.

Hutang Negara Bahagian 1: Memahami Hutang Kerajaan


oleh: Norman

Hutang negara adalah salah satu topik hangat yang menjadi bualan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Selain daripada pakar ekonomi dan tokoh akademik, perihal tentang hutang negara ini juga menjadi buah mulut rakyat biasa terutamanya di dalam ruangan media sosial. Isu hutang negara dijadikan isu politik dan sosial apabila ada segelintir daripada kita yang risau tentang paras hutang negara yang dikatakan berada pada paras kritikal. 

Kebanyakan pemahaman tentang hutang negara dikalangan masyarakat dibentuk oleh fahaman politik. Ada yang mengatakan hutang negara membebankan dan ada yang mengatakan hutang negara adalah mampan dan sihat. Sebelum kita membuat kesimpulan tentang hutang negara itu elok juga kita faham apa itu sebenarnya hutang negara. 

Apa itu hutang negara?

Hutang negara yang dibincangkan di sini adalah lebih tepat merujuk kepada hutang awam (public debt) atau hutang kerajaan (government debt). Kedua-duanya adalah sama hutang awam=hutang kerajaan. Manakala hutang seisi rumah (household debt), hutang sektor swasta (private debt) adalah dua perkara lain dan berbeza dan tidak termasuk didalam kategori hutang awam yang tidak akan dibincangkan disini.

Hutang awam adalah hutang oleh kerajaan persekutuan kepada semua pemberi hutang. Kebanyakan negara berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan pada tahun tertentu. Kerajaan setiap tahun akan mengutip cukai dan menerima hasil yang dipanggil pendapatan kerajaan. Setiap tahun juga kerajaan akan membelanjakan wang yang terbahagi kepada dua kategori perbelanjaan iaitu perbelanjaan mengurus (operating expenditure) dan juga perbelanjaan pembangunan (development expenditure). Setiap tahun Menteri Kewangan akan membentang belanjawan tahunan (bajet/budget) di parlimen untuk menerangkan berapa hasil kutipan kerajaan dan juga berapa perbelanjaan kerajaan untuk tempoh tahun tersebut.

HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN


Apabila pada suatu tempoh tahun tersebut hasil kerajaan yang dikutip melebihi perbelanjaan kerajaan, keadaan ini dipanggil sebagai belanjawan lebihan (surplus budget). Apabila hasil kerajaan kurang daripada perbelanjaan kerajaan ia dipanggil sebagai belanjawan defisit (deficit budget) dan jika hasil kerajaan pada tahun tertentu itu sama dengan perbelanjaan kerajaan ia dipanggil belanjawan berimbang (balanced budget). 

DEFISIT KERAJAAN PERSEKUTUAN (PERBELANJAAN TOLAK HASIL)


Jadi anda semua perlu membezakan defisit dengan hutang awam kerana defisit itu bukan hutang. Defisit adalah kekurangan dana atau terlebih belanja didalam belanjawan tahunan. Defisit ini yang menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan yang lebih daripada hasil yang dikutip kerajaan. Ingat defisit dan hutang itu adalah dua perkara yang berbeza.

Hutang negara dikira dalam jumlah berapa Ringgit Malaysia dan juga dikira berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP). [KDNK secara ringkasnya bermaksud saiz ekonomi negara]. 



Bagaimana kerajaan berhutang?

Kerajaan berhutang dengan menerbitkan bon (sejenis instrumen hutang) kepada awam seperti bank, KWSP, KWAP dan juga orang ramai. Bon ini adalah kertas sebagai janji dimana pada tempoh masa tertentu kerajaan akan membayar balik wang (principal) yang dipinjam setelah habis tempoh matang (maturity date) bon dan kerajaan juga akan membayar sejumlah wang faedah (interest) mengikut kadar yang telah ditetapkan didalam bon tersebut. Contohnya: 

  1. Kerajaan Malaysia melalui Perbendaharaan Negara (treasury) menerbitkan bon sebanyak RM1,000,000 kepada awam untuk tempoh masa 10 tahun dengan kadar faedah 3% setiap tahun.
  2. Pelabur yang melanggan bon (meminjamkan duit kepada kerajaan) akan menerima faedah 3% atau RM30,000 setiap tahun daripada kerajaan untuk tempoh masa 10 tahun.
  3. Setelah tempoh 10 tahun iaitu tempoh matang bon itu tamat, kerajaan akan memulangkan RM1,000,000 prinsipal atau wang pelanggan bon tersebut.
Hutang awam atau bon ini kebanyakannya diterbitkan oleh kerajaan didalam negeri bermakna hutang awam dipegang oleh pelabur didalam negeri. Kerajaan juga ada meminjam wang daripada luar negara dengan menerbitkan bon daripada peminjam/pelabur luar. Hutang ini dipanggil sebagai hutang luar (external debt). 

Dibawah Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 parlimen menetapkan had siling pinjaman luar negara pada RM30bil sahaja: 
Oleh sebab itu kebanyakan hutang kerajaan dipinjam daripada dalam negeri dan dalam Ringgit Malaysia. Rujuk: 

PINJAMAN DALAM DAN LUAR NEGERI
Gambarajah dari Laporan Ketua Audit Negara diatas menunjukkan jumlah pinjaman dalam negeri dan juga luar negeri yang dipinjam oleh kerajaan persekutuan setiap tahun. Jumlah hutang luar negeri adalah pada kadar yang minima dan masih dibawah daripada paras siling yang ditetapkan perlembagaan negara.

Trend hutang kerajaan

Pada awal tahun 90 an kerajaan dibawah Menteri Kewangan Dato Sri Anwar Ibrahim pada masa itu memacu ekonomi negara yang berkembang pesat. Dalam pada masa yang sama trend hutang kerajaan menurun dari awal 90an pada paras 80% berbanding KDNK  sehinggalah  tahun 1997 pada paras 32%: 


Krisis ekonomi asia tenggara pada tahun 1997 menyaksikan hutang kerajaan meningkat secara konsisten kerana kerajaan terpaksa berbelanja lebih untuk merancakkan kelembapan ekonomi tempatan dan trend hutang awam kembali meningkat dari serendah 32% (tahun 1997) sehinggalah pada paras lebih 50% pada tahun 2011. 

Artikel ini akan bersambung kemudian. Setakat ini saya harap kawan-kawan sudah faham apa itu hutang kerajaan, hutang kerajaan berbanding KDNK(GDP), trend hutang kerajaan dan lain-lain. Di dalam artikel seterusnya kita akan membincangkan samada hutang kerajaan ini sihat atau membimbangkan dan juga adakah Malaysia akan menjadi seperti Greece seperti yang dirisaukan sesetengah pihak. Nantikan artikel seterusnya. 

"Nak jadi pembangkang, jadilah pembangkang yang bijak"


Wednesday 8 May 2013

GST


Oleh: Norman 

Dengar saja tentang GST perkara pertama yang akan terlintas di kepala kita sudah pastilah tentang kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan. Memandangkan pada PRU13, BN kekal dipilih sebagai kerajaan pelaksanaan GST mungkin akan terjadi dalam tempoh masa setahun atau dua tahun daripada sekarang. Walaubagaimanapun sebagai rakyat yang matang kita haruslah memahami sesuatu isu tersebut sebelum kita membangkang apa sahaja dasar yang dibawa kerajaan. 

Setelah menerima maklumbalas daripada laman media sosial Twitter dan FB saya simpulkan ramai yang sebenarnya tidak faham tentang apa itu sebenarnya GST, bagaimana GST dilaksanakan dan juga kesan GST terhadap harga barang dan perkhidmatan. Saya tidak menyalahkan kawan-kawan semua kerana kerajaan juga tersilap langkah apabila penerangan tentang GST tidak dibuat secara menyeluruh malah peluang menerangkan GST melalui media perdana seperti suratkhabar, tv & radio disia-siakan kerajaan apabila ia hanya digunakan untuk menghentam pembangkang, menabur fitnah dan terbaru membangkitkan semangat perkauman. Sebelum membaca artikel ini saya minta kawan-kawan tinggalkan politik partisan, buka mata dan hati supaya kita faham apa itu sebenarnya GST.

CUKAI DI MALAYSIA

Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) dan yang kedua cukai penggunaan (consumption tax). Cukai pendapatan adalah cukai yang dikenakan keatas segala pendapatan termasuk gaji, bonus, hadiah, komisen, dividen dan sebagainya. Manakala cukai penggunaan dikenakan keatas barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang kita gunakan. GST terletak dibawah kategori cukai penggunaan (consumption tax).

APA ITU GST DAN SST?

GST adalah 'Goods and Services Tax' atau cukai barangan dan perkhidmatan. Selama ini kita rakyat Malaysia membayar SST iaitu 'Sales tax and Service tax' atau cukai jualan dan cukai perkhidmatan. SST kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza pada kadar 6% untuk cukai perkhidmatan (service tax) dan 10% untuk cukai jualan (sales tax). Anda boleh merujuk bil atau resit setiap kali anda membuat bayaran bil telefon, ASTRO, selepas membeli belah di Tesco, Jusco, Giant dan sebagainya semuanya ada tertera jumlah dan peratusan SST yang dibayar. 

GST yang dicadangkan kerajaan Malaysia pada tahun 2009 adalah pada kadar 4% menjadikannya lebih rendah daripada SST pada kadar 6%-10%. Jadi apa bezanya GST dan SST? Pelaksanaan GST merangkumi segala jenis barangan dan perkhidmatan yang ada di Malaysia termasuk barangan yang diimport mahupun yang dibuat dibuat di Malaysia. GST akan mengenakan cukai pada setiap lapisan peringkat bekalan barangan dan perkhidmatan contohnya dari pengilang (manufacturer), pemborong (wholesaler), peruncit/kedai (retailer) hinggalah kepada pengguna (end-customer). Cukai GST ini akan dikutip setiap kali transaksi berlaku dan penjual akan mengutip cukai daripada pembeli mengikut rantaian bekalan tadi. Walaubagaimanapun 4% itu adalah kadar tetap dan tiada cukai berganda (multiple taxes). SST pula kebiasaannya dikenakan kepada pelanggan yang membeli barangan daripada kedai/peruncit dan terdedah kepada cukai berganda. Pelaksanaan SST juga tidak menyeluruh menjadikan ia tidak saksama.

PELAKSANAAN GST

Idea melaksanakan GST ini mula dibincangkan pada tahun 2007 dan pada mulanya dijadualkan untuk dilaksana pada tahun 2009 kemudiannya ditangguh atas sebab pilihanraya dan juga atas sebab kurangnya pemahaman tentang GST dikalangan rakyat Malaysia. Kemudiannya rang undang-undang GST dibaca diparlimen buat kali pertama pada tahun 2009 dan dijadualkan dibaca untuk kali kedua pada 2010 namun ia ditangguhkan juga atas sebab-sebab yang sama. Anda boleh merujuk keratan berita dari Berita Harian tentang jadual bacaan rang undang-undang GST di sini: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2013011405244620130114052446/Article/index_html

GST yang dicadangkan kerajaan adalah pada kadar rata 4% untuk SETIAP barangan dan perkhidmatan WALAUBAGAIMANAPUN kerajaan akan mengecualikan GST ke atas barangan seperti makanan asas beras, gula, tepung, pengangkutan awam seperti tiket bas, komuter, LRT dan juga barangan seperti ubat-ubatan dan sebagainya. Dengan pengecualian ini kesan kenaikan harga ke atas barangan dan perkhidmatan asas adalah minima (atau tiada). Perkara ini ada dinyatakan di laman web Kastam DiRaja Malaysia tentang GST



KEPERLUAN MELAKSANAKAN GST

GST perlu dilaksanakan untuk meluaskan kadar kenaan cukai kepada semua individu dan perniagaan di Malaysia lalu menambah pendapatan kerajaan secara tidak langsung. GST juga akan menutup kelemahan pengurusan cukai SST seperti cukai berganda, lari daripada cukai (tax evasion) dan sebagainya. Untuk pengetahuan kawan-kawan daripada keseluruhan tenaga buruh (workforce) di Malaysia peratusan yang membayar cukai pendapatan (income tax) adalah kurang daripada 10% sahaja bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan adalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang menerima manfaat daripada kerajaan seperti BR1M, BB1M dan segala bentuk jenis subsidi yang lain. GST akan menjadikan setiap lapisan masyarakat sama ada miskin, sederhana atau kaya membayar cukai untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan. 

GST TIDAK ADIL KEPADA ORANG MISKIN?

GST nampak tidak adil kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana mereka terpaksa membayar cukai pada kadar yang sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Oleh sebab itu kerajaan disamping melaksanakan GST perlu memperkenalkan pakej atau program seperti bayaran tunai atau rebat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Program sekarang seperti BR1M boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaannya perlulah teliti dan lebih sistematik agar bayaran tunai untuk menangani kos GST tidak tiris dan terdedah kepada penyelewengan (contohnya: orang yang tidak layak juga terima BR1M). 

Konsep cukai penggunaan (consumption tax) seperti GST adalah semakin banyak anda membeli barang atau menggunakan perkhidmatan semakin banyak cukai yang dibayar. Bermakna anda boleh mengawal perbelanjaan anda secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka yang berpendapatan rendah hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka. Program bantuan tunai daripada kerajaan akan mengurang kesan GST kepada mereka yang berpendapatan rendah.

KESAN GST

GST jika dilaksanakan seperti di negara lain contohnya Singapura, apabila GST dilaksanakan kadar cukai pendapatan (income tax) akan dikurangkan secara berperingkat. Ini akan memberi kesan positif kepada pembayar cukai pendapatan di mana mereka akan ada lebih pendapatan boleh guna (disposable income) untuk dibelanja atau disimpan. Walaubagaimanapun kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari. GST juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat menyimpan untuk pelaburan dan berbelanja secara berhemah dan jika perlu sahaja. 

Mengenai kerisauan dikalangan kita bahawa GST akan meningkatkan harga barangan, memang ia tak dapat dinafikan yang ada sesetengah barangan akan naik harga TETAPI ada juga barangan yang akan turun harga setelah kadar GST 4% ini dilaksanakan kerana sebelum ini SST 6-10% dikenakan maka ada penguranagan kadar cukai disitu. Harga KFC, tiket wayang, bil telco akan berkurang sedikit manakala barangan yang tidak dikenakan cukai SST sebelum ini seperti barangan elektrik, komputer dan sebagainya akan meningkat sedikit. Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang.

Kerajaan juga akan membentuk jawatan kuasa yang memantau serta mengawal kadar kenaikan harga barang agar kenaikan harga barang tidak mendadak dan peniaga tidak akan mengutip untung berlebihan: 





SALAHFAHAM KEBELAKANGAN INI

Kebelakangan ini tersebar tentang 'GST' telah dilaksanakan melalui penyebaran gambar ini: 


GST yang dimaksudkan diatas adalah 'government service tax' pada kadar 6% dan bukannya Goods and Services Tax pada kadar 4% yang dicadangkan. Sepatutnya Tesco Extra menulisnya sebagai SST atau Service Tax dan bukannya GST untuk mengelakkan kekeliruan seperti diatas. GST 4% akan menggantikan cukai perkhdimatan 6% ini. 

Cukai perkhidmatan diatas sebelum 2011 adalah pada kadar 5% kemudiannya dinaikkan kepada 6% berkuatkuasa 1 Januari 2011. Rujuk: http://kms.customs.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=99:info-untuk-umum--cukai-perkhidmatan&catid=39:cdnk&Itemid=94

PENDAPAT PERIBADI

Di atas saya telah menerangkan konsep, pelaksanaan dan kesan GST kepada kita semua. Jika anda bertanya kepada saya secara peribadi, saya menyokong pelaksanaan GST ini dengan syarat kerajaan meningkatkan kecekapan pengurusan jabatan-jabatan yang terlibat, pemantauan teliti untuk mengelakkan pengguna ditekan atau ditipu peniaga dan penerangan yang lebih jelas kepada rakyat keseluruhannya. Kerajaan juga perlu memperkenalkan pakej atau program yang lebih mampan untuk menangani kesan GST kepada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar. Pelaksanaan GST tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru dan perlu diadakan tempoh percubaan (trial period) sepertimana ia dijalankan di negara lain. Disamping itu kerajaan juga sepatutnya menurunkan cukai pendapatan dan juga meningkatkan pendapatan seisi rumah untuk menangani kesan langsung daripada GST.

KESIMPULAN 

Saya seorang individu yang pro-Pakatan Rakyat sebenarnya berkongsi kerisauan dengan kawan-kawan tentang cara kerajaan membelanjakan wang cukai yang dikutip. Lihat sahaja berbillion ringgit bocor, tiris dan dibazirkan setiap tahun seperti mana yang digambarkan didalam laporan ketua audit negara. Ini sahaja kerisauan kita bukan? GST adalah dasar yang baik tetapi bolehkah kerajaan dibawah BN membelanjakan wang kita dengan baik dan adakah rakyat akan mendapat faedah ke atas cukai yang dibayar nanti?

Didalam tempoh 5 tahun ini suka atau tidak GST tetap akan dilaksanakan. Bezanya kita sebagai rakyat perlulah memahami konsep GST itu sebelum kita membangkang membuta tuli tanpa fakta dan asas. Nak jadi pembangkang jadi pembangkang yang bijak, mahu jadi macai jadi macai yang cerdik. Harga barang naik atau mahal bukan disebabkan cukai, ia disebabkan monopoli dimana bekalan atau supply barangan dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ini yang patut kita tentang dan bangkang. Beras dan gula semuanya dipegang orang yang sama. Jadi mari sama-sama kita tolak monopoli dan favoritisme oleh kerajaan kepada tokey-tokey tertentu. Buka pasaran untuk persaingan sihat supaya akhirnya kita berada dalam situasi menang-menang. Rakyat untung, peniaga untung.

Tambahan: Sesetengah restoran atau perkhidmatan mengenakan service charge 10% yang mana kutipan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Jika GST dilaksanakan service charge ini mungkin kekal. Ada beza service charge dan service TAX.

p/s:

1. Dah habis baca artikel saya sebarkan pada kawan-kawan di Facebook, di pejabat, kepada keluarga dirumah.

2. Jangan merungut sangat, siapa suruh undi BN? :P

3. Sebarang soalan boleh diajukan di ruangan komen atau di Twitter saya.

4. Bacaan lanjut tentang GST oleh Kastam: http://gst.customs.gov.my/ms/Pages/default.aspx

5. Bacaan rang undang-undang GST jika anda rajin membaca:  http://gst.customs.gov.my/ms/rg/SiteAssets/gst_bill/gst%20act%20bill.pdf

Saturday 4 May 2013

Finale: Membiayai Manifesto Rakyat


Didalam artikel sebelum ini saya menunjukkan beberapa janji utama didalam Manifesto Rakyat dan jumlah perbelanjaan yang akan ditanggung untuk melaksanakan janji-janji tersebut. Walaubagaimanapun ada diantara mereka yang agak skeptik dan risau tentang bagaimana kerajaan akan menanggung sejumlah wang yang agak besar untuk membiayai janji-janji di dalam Manifesto Rakyat. Secara rumusannya saudara Rafizi Ramli telah menerangkan dengan jelas bagaimana Pakatan Rakyat akan membiayai program ekonomi dan janji mengurangkan beban rakyat ini: 

Seperti biasa saya akan cuba menerangkan kepada kawan-kawan dengan angka dan data daripada perbendaharaan negara tentang bagaimana sebenarnya untuk membiayai program ekonomi dan janji didalam Manifesto Rakyat ini. Adakah perbelanjaan kerajaan akan meningkat mendadak lalu defisit fiskal(kewangan) negara akan meningkat secara mengejut seperti dakwaan bekas Menteri Kewangan Ke-II Ahmad Husni? Adakah Petronas selaku penyumbang kewangan terbesar kerajaan akan dipaksa menanggung bebanan program dan janji Pakatan Rakyat?

Permulaannya mari kita lihat apakah komponen atau janji utama didalam Manifesto Rakyat dan juga jumlah perbelanjaan yang akan ditanggung sekiranya janji ini dilaksanakan:
  1. Menghapuskan tol secara berperingkat: RM6bil
  2. Menurunkan harga kereta (hapus duti eksais): RM2bil
  3. Pendidikan percuma & hapuskan PTPTN: RM6bil
  4. Perumahan Rakyat: RM5bil
  5. Elaun RM500 sebulan untuk guru: RM2.4bil
  6. Caruman suri rumah: RM3bil
  7. Bonus warga emas: RM3bil
  8. Lain-lain program ekonomi (termasuk turunkan harga minyak): RM18.35bil
Jumlah keseluruhan janji dan program ekonomi di dalam Manifesto Rakyat adalah RM45.75bil. Jumlah ini adalah tidak lebih 20% daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan persekutuan sebanyak RM250bil. 

Pakatan Rakyat jika diberi mandat untuk mentadbir negara berjanji akan menampal segala kebocoran dan ketirisan kewangan negara, mengekang rasuah dan penyelewengan serta mengurus kewangan negara dengan lebih berkesan. Untuk menjalankan perkara-perkara tersebut ianya mungkin akan mengambil sedikit masa sepanjang tempoh penggal pentadbiran Pakatan Rakyat nanti. Walaubagaimanapun ia bukanlah suatu yang mustahil untuk mencari sumber pembiayaan janji dan program ekonomi Manifesto Rakyat. Ia tidak akan melibatkan penambahan sumbangan oleh Petronas kepada kerajaan dan ia juga tidak akan melibatkan penambahan cukai kepada rakyat apatah lagi ia tidak akan dibiayai dengan menerbitkan hutang baru melalui perbendaharaan negara. 

BN menuduh janji Pakatan Rakyat didalam Manifesto Rakyat adalah tidak realistik dan membebankan. Tuduhan negara akan bankrap jika Manifesto Rakyat dilaksanakan umpama menuding jari didepan cermin apabila BN semasa mentadbir tiap-tiap tahun berbelanja melebihi daripada peruntukan yang ditetapkan. Laporan audit setiap tahun melaporkan kerajaan persekutuan berbelanja lebih daripada jumlah yamg diperuntukkan lalu memaksa Menteri Kewangan (merangkap PM) memohon belanjawan tambahan di parlimen: 

RM20bil jumlah terlebih belanja pada 2011.
RM20bil yang terlebih belanja ini hampir separuh jumlah belanja melaksanakan janji dan program didalam Manifesto Rakyat. Mengapa BN menuduh negara akan bankrap sedangkan BN sendiri berbelanja secara tidak cermat dan sewenang-wenangnya? Ke mana RM20bil ini pergi? Di dalam Twitter saya ada menyenaraikan pembaziran kerajaan persekutuan dan negeri di bawah BN. Anda boleh merujuk kompilasi tweet saya di Audit MelakaAudit JohorAudit Sabah dan Audit Sarawak. Lihat dan nilai berapa billion wang negara bocor, tiris dan dibazirkan oleh BN. Setakat 4 negeri BN yang dinilai melalui laporan audit, berbillion hilang dan tidak hairanlah mengapa kerajaan sering berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan. 



Seterusnya dibawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak, peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri meningkat saban tahun. Untuk tahun 2013 sebanyak RM14.6bil diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri sahaja. Seperti yang kita sudah maklum pelbagai jenis agensi, majlis, suruhanjaya dan jabatan terletak dibawah JPM seperti JAKIM, MAMPU, Pemandu, Permata, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan sebagainya. Ini menjadikan JPM salah sebuah kementerian yang paling 'bloated' atau terlebih besar. Program seperti GTP, ETP, NKRA, NKEA yang dijalankan oleh agensi Pemandu dan MAMPU menelan belanja yang banyak dan tidak sepatutnya: 





Di atas adalah contoh pelbagai jenis perbelanjaan dibawah JPM termasuk Felda(kenapa JPM?), PR1MA, PERMATA (Rosmah) malah perbelanjaan menyelenggara KLIA juga dimasukkan dibawah peruntukan JPM. Pakatan Rakyat boleh menghentikan aktiviti dan peruntukan kepada agensi yang tidak perlu lalu menyalurkan kepada janji dan program didalam Manifesto Rakyat. Perbelanjaan dibawah JPM seperti Pemandu tidak memberi kesan langsung kepada rakyat malah kerajaan terpaksa menanggung bayaran kepada perunding (consultant) yang memberi idea kepada makmal yang ditubuhkan Pemandu.

Rafizi Ramli menyatakan kaedah membiayai janji dan program Manifesto Rakyat melalui: 
  1. Penjimatan perbelanjaan kerajaan
  2. Menyusun keutamaan perbelanjaan
  3. Menambah pendapatan kerajaan
1. Penjimatan terhadap projek-projek yang membazir seperti yang saya tunjukkan melalui laporan ketua audit negara akan menjimatkan sebanyak 10% daripada perbelanjaan kerajaan yang berjumlah RM250bil. Maka dengan itu sebanyak RM25bil tersedia untuk menampung perbelanjaan janji dan program Manifesto Rakyat. 

2. Penyusunan semula keutamaan perbelanjaan seperti menghentikan perbelanjaan di bawah JPM yang tidak perlu yang akan menjimatkan lebih kurang RM5bil. Pakatan Rakyat juga akan memastikan tiada perbelanjaan yang akan melebihi jumlah yang telah diperuntukkan dan ini akan menjimatkan sebanyak RM20bil serta merta seperti jumlah wang terlebih belanja oleh BN pada tahun 2011. 

3. Perkara ketiga dan yang perlu kita tekankan adalah menambah pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai yang lebih tinggi TETAPI bukan dengan menaikkan kadar cukai pendapatan atau mengenakan GST kepada rakyat. Kutipan cukai akan bertambah apabila ekonomi negara berkembang pada kadar optimum dengan segala potensinya digunakan. Pakatan Rakyat mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 7% setiap tahun lalu ia akan menambahkan pendapatan rakyat dan lebih ramai rakyat yang boleh membayar cukai dan  syarikat akan menjana lebih keuntungan lalu hasil kerajaan akan meningkat. Dibawah BN kutipan hasil cukai meningkat seperti gambar rajah dibawah yang diambil dari laporan hasil negara: 

Cukai pendapatan individu dan syarikat berkembang pada kadar 9% dan 7% masing-masing. Jika ekonomi negara berkembang mengikut potensi sebenar lebih banyak cukai pendapatan yang boleh dikutip dan Pakatan Rakyat menjangka sebanyak RM4bil tambahan akan dikutip lalu menambah kantung perbendaharaan negara. Lihat juga angka cukai petroleum yang dibayar Petronas yang menurun, ini menandakan bahawa kerajaan boleh mengurangkan kebergantungan terhadap Petronas secara berperingkat. 

Jumlah keseluruhan yang dijimat/dijana melalui langkah-langkah Pakatan Rakyat diatas adalah sebanyak RM54bil berbanding kos janji dan program Manifesto Rakyat sebanyak RM45.75bil. Berdasarkan angka dan data yang saya tunjukkan di atas adakah anda yakin Pakatan Rakyat akan mampu melaksanakan janji-janji mereka? Masih percayakah anda bahawa negara akan bankrap sekiranya Manifesto Rakyat dilaksanakan?

Untuk penerangan lebih lanjut dan perbandingan dengan angka dan data kerajaan persekutuan anda boleh merujuk artikel saya sebelum ini:
Sudah kita maklum BN dengan tidak malunya meniru beberapa janji Manifesto Rakyat malah dengan bangganya menyatakan ini idea asal mereka sendiri. Dengan itu terbukti negara tidak akan bankrap sekiranya janji-janji Manifesto Rakyat dilaksanakan. Mari kita menilai keikhlasan dan kejujuran kedua-dua pihak serta siapakah yang menjanjikan pengurangan bebanan rakyat bersama-sama pertumbuhan ekonomi pesat ataupun yang menjanjikan janji-janji projek mega yang membazir dan tidak memberi kesan langsung kepada rakyat.

Kepada kawan-kawan yang membaca siri tulisan saya sebelum ini dan artikel ini saya memohon jika kawan-kawan semua setuju dengan apa yang Pakatan Rakyat bawa dan saya tuliskan, kongsikan lah artikel-artikel ini bersama-sama semua keluarga dan rakan-rakan yang lain. Ini peluang kita untuk mengubah struktur ekonomi negara, membantu menaikkan sosio-ekonomi rakyat dan juga menghapuskan pembaziran, ketirisan dan kebocoran akibat rasuah dan penyelewengan BN selama ini. 

"Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"