Wednesday 10 April 2013

Undi Rosak: Strategi, Protes Atau Kebodohan?





Oleh : Muhammad Juwaini Abdul Rahman
Twitter : @abamjoni

Akhir-akhir ini, perbincangan di ruang maya internet berkisar (salah satu daripadanya) tentang undi rosak.

Alasan yang mereka berikan adalah mudah. Kerana kedua-dua pihak utama yang bertanding (Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat) sama-sama teruk/bangang/bodoh/tak boleh diharap.

Idea untuk membikin undi rosak ini menghadirkan pelbagai pandangan. Ada yang setuju dan ada yang tidak. Ada juga yang neutral dan tidak ambil peduli. Golongan yang terakhir ni yang paling best sebab hidup mereka sentiasa bahagia. Bagi mereka, yang penting ada internet laju.

Ada yang beranggapan bahawa tindakan merosakkan undi ini adalah satu bentuk pembaziran sumber petugas SPR dari segi masa dan tenaga yang dibuang untuk membilang undi rosak. 

Dari sudut yang lain pula, ada yang beranggapan bahawa masa yang dibazirkan pengundi untuk berbaris dan memangkah undi rosak itu lebih baik digunakan untuk tidur di rumah sahaja.

Adakah benar serendah itu nilai undi rosak di mata para "pengkritik kerusi goyang" internet?

Pada pilihanraya yang lepas-lepas terutamanya pada PRU12, terdapat peratusan yang tinggi pada undi rosak di banyak tempat. Parti yang peka akan memahami bahawa undi rosak yang signifikan jumlahnya itu adalah satu isyarat yang cuba disampaikan kepada mereka. Parti yang syok sendiri tidak akan mengambil pusing tentang undi rosak.

Bagi yang mengatakan bahawa undi rosak itu satu kerja bodoh yang sia-sia, saya suka untuk menganalogikan undi rosak dengan demonstrasi Bersih. Selepas kita menghadiri demo Bersih, adakah SPR memenuhi KESEMUA tuntutan Bersih itu? Jawapannya tidak.

Adakah demo Bersih itu suatu perkara yang sia-sia? Jawapannya tidak. Sama juga la dengan konsep undi rosak. Tidak ada satu undi yang tidak bernilai. Kadangkala jalan (means) itu lebih penting dari objektif (end).

Tahun 2008 lalu, tiada siapa menyangka bahawa satu undi mereka boleh mengubah apa-apa. Lihatlah apa yang berlaku. Negeri yang tidak pernah disangka akan jatuh ke tangan pembangkang, dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Satu lagi analogi yang sesuai. Kalau kita rasa kita terlalu 'kerdil' untuk mengubah apa-apa, cubalah kita tidur di tempat gelap dengan seekor nyamuk. Kalau nyamuk kecil boleh bikin kita rimas dan terganggu, bayangkan apa yang satu undi kita boleh lakukan kepada negara.

Ada yang mempersoalkan, bagaimana mahu tahu samada undi rosak itu dilakukan dengan sengaja (untuk protes) atau akibat kejahilan pengundi?

Salah satu caranya adalah melalui peratusan. Kalau kawasan luar bandar yang pengundinya (secara umum) tidak berpendidikan tinggi, kita boleh menganggap bahawa undi rosak itu tidak disengajakan. Tapi kalau kawasan urban atau separa urban yang rata-rata pengundinya tahu baca, tulis dan kira, adalah sangat pelik kalau undi rosak itu terjadi dalam peratusan yang tinggi. Jika ia berlaku, maknanya undi rosak itu adalah satu bentuk protes.

Bagaimana pula dengan saya?

Secara peribadinya saya menolak kaedah undi rosak untuk menyampaikan protes. Di kawasan tempat saya mengundi iaitu parlimen Parit dan DUN Belanja, PAS dan Pakatan Rakyat masih memerlukan undi saya. Dalam jangkamasa terdekat pun saya tidak nampak sebab kenapa saya perlu mengundi rosak.

Dari sudut pandangan lain pula, sekiranya gerakan "undi rosak" ini yakin mereka ada banyak pengikut dan penyokong, kenapa tidak sahaja mereka tubuhkan sebuah pergerakan khas kuasa ketiga untuk melawan ketololan (kata mereka) yang berlaku dalam sistem politik negara?

Seperti yang saya tulis dalam artikel sebelum ini, undi rosak itu lebih baik dari tidak mengundi. Sumbangan undi rosak yang paling minima adalah untuk memastikan bahawa dua undi (satu undi kalau pengundi di Wilayah Persekutuan) kita itu tidak 'dimanipulasi' oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Kita mendabik dada memperlekehkan kedua belah pihak (BN dan PR), tapi kita sendiri bebal tak mahu pergi mengundi sampai undi kita dimanipulasi oleh pihak lain. Cerdik terlebih?

Akhir kata, laksanakan peranan dan tanggungjawab kita sebagai warga Malaysia yang prihatin dengan  turun mengundi pada 5 Mei 2013.

No comments:

Post a Comment