Wednesday 24 April 2013

Perkauman: Isu Tanpa Penyudah?


Oleh : Muhammad Juwaini Abdul Rahman
Twitter : @abamjoni


Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir. Apa yang menarik mahu ditulis tentang itu?

Kesampingkan seketika isu politik. Mari kita berbicara tentang isu perkauman. Mana permulaan dan mana penghujungnya?

Perkauman ini sudahpun bermula sejak zaman moyang kita Adam masih bermastautin di dalam syurga. Ketika Allah memerintahkan iblis untuk tunduk/sujud kepada Adam, iblis menolak dengan alasan Adam dijadikan dari tanah kotor manakala iblis diciptakan dari api.

Ya, itulah titik mula kepada isu perkauman yang melanda umat manusia. Perbezaan warna kulit dan asal kejadian.

Harus diakui, saya terdidik dalam persekitaran yang hampir 100% Melayu. Ketika memasuki usia 10 tahun, saya berpindah ke kawasan yang ada sedikit bangsa bukan Melayu. Tapi secara keseluruhannya masih lagi 99.95% Melayu.

Masuk ke sekolah menengah, saya memasuki sekolah berasrama penuh. Hampir kesemuanya Melayu juga.

Masuk ke matrikulasi, juga 100% Melayu. Masuk ke universiti barulah merasa melihat Melayu bukan lagi kaum dominan.

Sebelum ini saya tidak pernah melihat bukan Melayu sebagai satu ancaman. Saya tidak pernah ada kebimbangan terhadap bangsa lain.

Saya pergi ke sekolah rendah dulu dengan menaiki bas buruk Ah Seng. Di sekolah berkawan dengan rakan-rakan dari bangsa lain. Tidak pernah sekali pun pada waktu itu saya terfikir bahawa mereka lebih rendah atau lebih tinggi tarafnya berbanding saya.

Benar, warna kulit kami berbeza. Mata kami ada yang bulat dan ada yang sepet. Tapi itulah kepelbagaian.

Waktu bilakah baru saya mula terdidik dengan perkauman yang berasaskan kebencian?

Saya tidak ingat tarikh dan masanya yang tepat. Tapi yang saya pasti, sebaik sahaja DAP memenangi kerusi parlimen dan DUN yang banyak pada PRU ke 12 (8 Mac 2008), barulah media arus perdana mula menyemarakkan kebencian kepada kaum Tionghua.

Benar, setiap bangsa ada diberikan generalisasi tertentu. Sebagai contoh, Melayu pemalas, Cina kaki tipu dan India kaki botol. Tapi adakah perkara tersebut benar? Kalau benar, adakah ia berlaku akibat pengaruh genetik atau kerana segmentasi (pecah dan perintah) yang dilakukan oleh British dan kerajaan sebelum ini?

Mampukah kita keluar dari kepompong perkauman ini? Sampai bilakah kita mahu dimomokkan dengan kebimbangan bahawa kaum lain cuba untuk menakluk Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai Singapura kedua?

Yang lebih menyedihkan bila ada yang cuba menjustifikasikan sifat perkauman mereka dengan alasan agama. Perhatikan cubaan Dr Ridhuan Tee Abdullah yang cuba untuk menjadi lebih Melayu dari Melayu dengan mencerca bangsa dan penganut agama lain. Katanya atas nama Islam.

Apa kata kita renungkan pula kepada ISMA atau Arus Baru yang cuba mewujudkan slogan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat" sebagai solekan untuk menutup sifat perkauman. Barangkali mereka lupa bahawa orang Cina dan India terlebih dulu menerima Islam sebelum Islam sampai ke tanah Nusantara.

Kewujudan PERKASA yang kononnya untuk membela nasib Melayu menambahkan lagi keretakan sesama bangsa dan kaum di Malaysia. Adakah PERKASA ini tidak mendapat sokongan pemerintah? Kalau tak dapat, masakan Naib Presidennya, Zulkifli Noordin dilantik menjadi calon Barisan Nasional di Shah Alam? Kalau tidak disokong, mana mungkin Mahathir, Rosmah dan Najib sanggup menghadiri majlis yang dianjurkan PERKASA?

Secara peribadinya, saya sedih melihat keadaan sebegini. Saya cuma mengharapkan bahawa orang Malaysia dapat hidup sebagai satu komuniti tanpa ada syak wasangka dan kebimbangan yang tidak berasas tentang bangsa lain.

Kenapa saya menulis tentang perkauman dari perspektif bangsa Melayu? Sebab saya Melayu dan saya mengetahui psyche bangsa Melayu. Bangsa lain mungkin ada juga sifat perkauman mereka yang tersendiri, tapi saya tidak tahu kerana saya bukan bangsa tersebut.

Pilihanraya semakin hampir. Moga bangsa Malaysia tidak terpengaruh dengan momokan perkauman yang dibenci Tuhan dan Nabi SAW. Harapnya agar pilihanraya kali ini berjalan lancar tanpa rakyat Malaysia terpengaruh dengan provokasi berbau perkauman.

Kepada Allah kita berserah.

1 comment: