Wednesday 1 May 2013

Pelaksanaan Gaji Minima: Buku Teks Ekonomi dan Realiti


oleh: Juwaini Abdul Rahman (@abamjoni)

Sekali sekala jom kita bercakap tentang isu yang di luar dari politik. Tak boleh nak 100% bebas politik sebab politik sentiasa mempengaruhi kehidupan kita. Pendidikan kita sistemnya dibentuk oleh politik. Ekonomi kita dibentuk oleh politik. Bahkan bil air dan elektrik di rumah kita pun ditetapkan nilainya oleh orang politik.

Golongan yang berbangga sebab depa "don't give a damn about politics" adalah si naif (ignorant?) yang bakal lemas dek kejahilannya satu hari nanti. Ambil tahu tak salah, cuma jangan fanatik kepartian sampai tak boleh nak bezakan kebenaran dengan kepalsuan.

Pagi tadi sewaktu menyinggah ke Facebook, saya terbaca satu tulisan pasal isu gaji minima. Tujuan tulisan di sini adalah untuk menyanggah kesilapan atau kekeliruan dalam tulisan tersebut. Tulisan itu boleh dibaca di sini dan sini.

Secara peribadinya, adakah saya merasakan bahawa gaji minima perlu di Malaysia? 

Saya berpendapat, dalam sistem ekonomi yang benar-benar bebas, gaji minima tidak diperlukan. 

Persoalannya, adakah sistem ekonomi di Malaysia benar-benar bebas? 

Adakah barang keperluan harian seperti beras dan gula dibuka pasarannya untuk semua pihak berniaga? 

Adakah harga kereta di Malaysia benar-benar mengikut harga pasaran?

Jawapan kepada semua persoalan tadi adalah TIDAK. Oleh kerana itu saya beranggapan bahawa perlaksanaan gaji minima masih lagi diperlukan di Malaysia.

Baiklah, sekarang mari kita menjawab 'hujah' demi 'hujah' yang ditimbulkan oleh penulis.

Ahli politik adalah individu-individu yang mereka sangka mereka mengenali masyarakat dan tahu apa yang baik dan apa yang buruk untuk mereka. Selain itu, mereka juga sangat pakar dan mahir dalam ilmu untuk memperdaya rakyat dalam menerima sesuatu perkara yang mereka mahukan ke atas rakyat.
Dari situ berlumba-lumbalah ahli politik dari kerajaan dan pembangkang untuk memperkenalkan gaji minimum pekerja. Kemahuan golongan persatuan pekerja ini tidak dilayan pada zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir kerana beliau mungkin tahu baik buruk polisi ini.

Zaman pemerintahan Mahathir sememangnya menolak dasar gaji minima. Bahkan kesatuan sekerja dalam bidang elektronik tidak dibenarkan untuk bergiat aktif. Ada aktivis kesatuan sekerja yang ditahan di bawah ISA kerana mendesak perlaksaan gaji minimum.

Kenapa hal sedemikian berlaku? Apabila gaji pekerja dalam sektor pembuatan elektronik murah, banyak pelaburan yang bakal diterima dari luar. Namun demikian, walaupun negara menerima pelaburan yang tinggi, tapi buruh kita berdepan dengan masalah kekangan gaji. Gaji tersangkut dan tidak bergerak.

Masih ada yang mahu diperintah dengan 'cara' Mahathir?
Jika benar kerajaan dapat meningkatkan pendapatan golongan miskin dengan menetapkan gaji minimum, kenapa kerajaan tidak hanya menetapkan gaji minimum ini kepada RM 5000 sahaja. Dengan mudah semua buruh akan mendapat gaji tinggi dan semua orang pun akan gembira.
Bagaimana gaji meningkat ? Gaji meningkat apabila produktiviti per kapita setiap rakyat di sesebuah negara itu meningkat. Apabila produktiviti meningkat, pendapatan meningkat, perniagaan berkembang dan seterusnya gaji pekerja akan meningkat dan ini meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
Saya tidak mahu menjawab persoalan yang ditimbulkan dalam 'hujah' di atas kerana ianya seolah-olah di salin dan tampal dari buku teks ekonomi sekolah menengah.

Kadar kenaikan gaji di Malaysia adalah antara yang terendah di rantau ini. Berdasarkan logik si penulis, adakah fakta ini mengimplikasikan bahawa pekerja di Malaysia adalah yang paling malas di rantau ini?

Jika buah epal dijual dengan harga RM 1.00 meningkat kepada RM 2.00. Secara logik mudah, orang akan kurang membeli buah epal. Ini juga yang akan terjadi kepada pasaran buruh di sesebuah negara apabila kerajaan menetapkan gaji minimum.
Jika saya mempunyai 10 orang pekerja. Penetapan gaji minimum mungkin hanya mempunya kesan kepada 2 orang daripada pekerja saya. Tetapi peningkatan ini akan mengakibatkan saya untuk menaikkan gaji bagi kesemua pekerja saya. Tidak mungkin pekerja yang sudah 5 tahun bekerja dengan saya akan bersetuju dengan gaji pekerja yang baru masuk kerja bulan lepas.
Itu yang pertama, yang keduanya saya sebagai pemilik perniagaan akan memilih untuk mengurangkan penggunaan pekerja sebagai langkah untuk berjimat supaya saya tidak rugi dalam perniagaan yang saya sedang ceburi.
Dalam isu harga epal tersebut, orang memberikan hujahan yang serupa tentang kewujudan pasaraya. Kononnya kewujudan pasaraya yang menjual barangan dengan harga murah mengakibatkan kedai runcit kecil gulung tikar akibat tertewas dalam persaingan harga.

Adakah hal tersebut berlaku? Benar, mungkin kedai runcit kecil menghadapi masalah dari segi persaingan harga. Namun, kedai runcit kecil masih berupaya bertahan atas beberapa faktor. Layanan pelanggan yang lebih akrab dan mempunyai sentuhan peribadi misalnya. Dalam banyak keadaan, api lawannya bukan api, tapi air. Atau pasir. Atau buih. 
Apabila peniaga mengurangkan bilangan pekerja kerana tidak mampu membayar gaji minimum. Golongan buruh bawahan ini tidak akan mendapat sebarang kerja dan ini akan meningkatkan pengangguran dikalangan masyarakat.
Seperti yang anda sudah ketahui, peningkatan pengangguran akan menyebabkan kadar jenayah juga meningkat.
Sekali lagi, penulis berdepan dengan masalah untuk memahami konsep sebab dan akibat. Hujahnya terlalu simplistik. Peniaga kurangkan pekerja, pekerja menganggur, seterusnya kadar jenayah meningkat. Semudah itu?

Oh, mungkinkah politikus, penjawat awam dan pihak berkuasa di Malaysia ini mengambil rasuah kerana mereka menganggur?

Atau mungkinkah selama ini kadar jenayah yang tinggi berlaku di Malaysia akibat dasar gaji minima walaupun ketika itu gaji minima belum lagi dilaksanakan?

Saya kenal penulis ini secara peribadi. Saya rasa kehidupan beliau cukup mewah. Isterinya orang Rusia. Menggunakan alasan "tidak mampu untuk membayar gaji pekerja kerana tidak ada untung" bagi saya adalah satu hujah yang hipokrit dan agak menipu. Sila beritahu itu kepada isteri Rusia anda.
Penetapan gaji minimum akan menyebabkan peningkatan harga barang. Manakan tidak, kos pembuatan sesebuah barangan itu telah meningkat jadi sudah tentu kos ini akan digilirkan kepada pelanggan yang akan membeli sesebuah produk.
Dengan itu akan berlaku peningkatan harga barang serta peningkatan kadar inflasi. Ini akan menyebabkan semua orang terutamanya pengguna terpaksa menanggung kerugian
Dalam pasaran bebas, harga barangan dan gaji pekerja tidak seharusnya ditetapkan oleh sesiapa samada ahli politik atau kerajaan. Ianya seharusnya dibiarkan terapung dan bebas.
Pernah dalam satu pertikaian pada zaman Rasulullah, baginda dipanggil untuk menetapkan harga roti di pasar. Baginda bersabda
“Aku tidak mahu darah mereka ini di tangan aku di akhirat nanti”
(“An Islamic economic system largely supports a market mechanism for coordination of economic activity. This is based on a hadith reported by Ibn Majah and Tirmidhi on bread prices in Medina where the Prophet refused to intervene to set prices (of wheat) saying, “I don‟t want to have the blood of these men on my hands in the hereafter” because there was a shortage due to natural causes (drought).”)
Ini dengan jelas menunjukkan Islam sendiri mengakui dan mengesahkan pasaran terbuka sebagai satu mekanisme yang terbaik dalam pemerintahan dan hal-ehwal perniagaan dalam sesebuah negara.
Tidak banyak yang kita dapat buat sekarang. Polisi ini tidak akan ditarikbalik dalam masa terdekat dan Pakatan Rakyat juga sedang berjuang untuk meningkatkan lagi gaji minimum dalam manisfesto mereka.
Nyata kita telah terperangkap dikalangan kedua-dua ahli politik kerajaan dan pembangkang yang mengejar undi tetapi secara bodoh sanggup menggadai masa depan ekonomi negara kita.
Sekali lagi, kesilapan dalam penghujahan beliau adalah apabila beliau menganggap pasaran di Malaysia adalah bersifat bebas. 

Pasaran di Malaysia tidak bebas. Gula kita dimonopoli oleh satu pihak. Beras juga sama. Kereta kita tidak diletakkan pada harga pasaran sebenar. Bahkan jalur lebar talian tetap pun dimonopoli oleh satu pihak.

Adakah hanya kerana beliau meletakkan kisah zaman nabi maka hujah beliau tidak lagi boleh dipersoalkan? Saya tidak pasti. Barangkali beliau beranggapan begitu.

Kesimpulan saya, selagi pasaran ekonomi di Malaysia belum benar-benar bebas dalam ertikata bebas sepenuhnya, dasar gaji minima masih lagi salah satu cadangan yang sesuai untuk merapatkan jurang ekonomi di negara ini.

Biasanya yang merungut ini adalah majikan kaya raya yang setiap tahun bertukar kereta mewah, tapi tak sanggup untuk memberikan gaji yang mampu beri kehidupan selesa pada manusia lain.

Berhentilah bersifat pentingkan diri.

No comments:

Post a Comment