Tuesday 16 April 2013

Turunkan Harga Minyak



Didalam Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat mencadangkan penurunan harga minyak serta merta setelah 24 jam mengambil-alih Putrajaya. Seperti biasa yang akan kedengaran adalah negara tidak akan mampu menanggung subsidi minyak yang tinggi dan bakal bankrap dengan kenaikan subsidi minyak kepada rakyat.Di dalam artikel ini saya akan menunjukkan beberapa angka daripada perbendaharaan negara, laporan kewangan Petronas dan laporan ekonomi negara untuk dinilai kawan-kawan tentang kemampuan menunaikan janji menurunkan harga minyak.


Menurut video saudara Rafizi Ramli Pakatan Rakyat bercadang menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.50 setiap liter. Ini bermakna penurunan sebanyak 40 sen. Setiap 10 sen yang diturunkan akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.7bil. Ini bermakna untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50/l, sebanyak RM6.8bil belanja tambahan diperlukan oleh Pakatan Rakyat. Di bawah kita akan lihat setakat 2012 berapa billion diperuntukkan untuk subsidi minyak dan anggaran perbelanjaan subsidi minyak untuk 2013: 


Rujuk angka didalam kotak biru diatas, kerajaan membelanjakan subsidi gas memasak (LPG), diesel & petrol SERTA bantuan tunai (akan diterangkan kemudian) sebanyak RM17bil pada tahun 2012 dan dijangka meningkat kepada RM20bil pada tahun 2013. Apakah kenaikan sebanyak RM3bil ini disebabkan peningkatan subsidi petrol & diesel di pam minyak? Rujuk laporan ekonomi diambil daripada laman web Kementerian Kewangan di bawah:


Laporan ini menyatakan bahawa, dibawah bajet 2012 pemberian wang tunai seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia, Bantuan Persekolahan dan lain-lain bantuan termasuk subsidi bil elektrik, pengangkutan awam, makanan asas seperti minyak masak & tepung kini diletakkan dibawah perbelanjaan subsidi minyak. Ini menjadikan jumlah subsidi dibawah kategori subsidi minyak lebih besar daripada angka sebenar yang patut dinyatakan. Jangkaan peruntukan subsidi minyak naik kepada RM20bil adalah disebabkan oleh tambahan bantuan tunai BR1M2.0 sebanyak RM3bil tidak termasuk janji di dalam Akujanji BN yang BR1M3.0 akan dibayar lebih 2 kali ganda (RM1,200 isi rumah & RM600 individu bujang). Dijangka perbelanjaan BR1M akan meningkat kepada RM6-7bil pada tahun 2013 sekiranya BN terus mentadbir negara. Maka dengan itu subsidi minyak akan meningkat kerana bantuan tunai dikategorikan dibawah kategori subsidi minyak bukan subsidi minyak di pam meningkat. 

Adakah subsidi petrol dan diesel di pam minyak sebenarnya meningkat? Mari kita lihat harga minyak global sejak 2007 sehingga Mac 2013 dibawah: 

Harga Minyak Mac 2008 - Mac 2013 (RM/tong)

Pada awal tahun 2008 minyak dunia mencecah setinggi RM450/tong dan turun mendadak sehingga RM140/tong hujung tahunnya akibat kemelesetan ekonomi global dan sejak itu meningkat secara purata dan berkisar di antara RM300-RM330/tong. Secara purata sejak 2008 harga minyak adalah RM300/tong dan tiada peningkatan atau penyusutan ketara sejak itu. Kadar pertambahan penggunaan petrol dan diesel tempatan boleh diabaikan kerana angka pertambahan itu tidak signifikan malah jualan kereta baru juga menurun pada tahun 2012 berbanding tahun sebelumnya.

Sejak tahun 2010 subsidi petrol dan diesel adalah pada kadar yang minimum. Ditolak subsidi gas memasak, subsidi petrol dan diesel adalah berjumlah tidak lebih daripada RM5bil setiap tahun. Ditambah dengan penurunan harga minyak global disebabkan permintaan yang menurun dari China, ekonomi Eropah yang merudum dan ekonomi Amerika Syarikat yang masih belum stabil, ini akan terus menekan harga minyak dan subsidi minyak domestik pada jumlah yang minimum. Jadi yang dikatakan kerajaan bahawa subsidi minyak meningkat mendadak pada jumlah berpuluh-puluh billion adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat tentang jumlah sebenar subsidi minyak

Tapi mereka akan kata itu tidak termasuk jumlah subsidi gas yang diberi kepada TNB dan penjana kuasa bebas (IPP) yang berjumlah puluhan billion. Ya benar, subsidi gas berjumlah puluhan billion diberi kepada TNB dan IPP setiap tahun tapi subsidi ini tidak dinyatakan didalam perbelanjaan persekutuan kerana ia ditanggung terus oleh syarikat minyak negara Petronas. Rujuk jadual dibawah: 


Laporan Kewangan Tahunan Petronas menyatakan bahawa pada tahun 2011 sebanyak RM11.6bil subsidi gas diperuntukkan kepada TNB dan IPP dimana TNB menerima RM4.9bil subsidi manakala IPP sebanyak RM6.9bil. Saya tidak akan menyentuh berkenaan subsidi gas didalam artikel ini. Saya hanya ingin mengemukakan bukti didalam laporan kewangan petronas menunjukkan subsidi gas kepada TNB & IPP tiak ditanggung oleh kerajaan secara terus dan tidak termasuk didalam kategori subsidi dibawah perbelanjaan persekutuan. Maka anggaran RM20bil subsidi minyak didalam perbelanjaan persekutuan adalah hanya subsidi petrol, diesel dan bantuan tunai.

Kini kita tahu subsidi minyak adalah pada jumlah yang minimum, mampukah Pakatan Rakyat menanggung perbelanjaan tambahan sebanyak RM6.8bil untuk menurunkan minyak kepada RM1.50/liter? Mari kita rujuk jumlah sumbangan Petronas kepada kerajaan persekutuan termasuk cukai petroleum, cukai jualan, cukai eksport, royalti, dan dividen tahun lepas: 

Cukai Pendapatan Petroleum: RM22bil
Cukai Duti Eksport Minyak Mentah: RM2bil

Royalti Petroleum: RM4.4bil
Dividen Petronas: RM30bil

Berdasarkan laporan hasil kerajaan persekutuan 2012 dan anggaran hasil kerajaan persekutuan 2013, kerajaan menerima sekurang-kurangnya RM50bil sumbangan daripada Petronas berbentuk cukai, royalti dan juga dividen tetap tahunan. Benar kebanyakan hasil ini dibelanja untuk belanja mengurus kerajaan persekutuan termasuk jangkaan RM20bil subsidi minyak pada tahu 2013. Selebihnya ia dibelanjakan untuk menampung belanja mengurus yang lain seperti emolumen(gaji), belian aset kerajaan dan sebagainya. RM50bil hasil berbanding RM20bil subsidi minyak adakah ini membebankan pada pandangan anda?

Benarkah subsidi petrol dan diesel ini membebankan syarikat minyak negara? Menurut laporan kewangan Petronas, kita mengeksport sejumlah RM43bil minyak dan gas dan mengimport RM20bil. Ini bermakna untuk 2liter minyak dieksport 1liter digunakan untuk kegunaan domestik(termasuk subsidi di pam minyak). Rujuk laporan kewangan dibawah: 



Setakat 2012 tanggungan subsidi petrol dan diesel tidak membebankan Petronas. Kedudukan kewangan Petronas masih berada paras selesa sekiranya minyak mentah kekal pada purata harga sekarang. Ia tidak menjadi masalah melainkan berlaku kenaikan mendadak harga minyak global seperti pada tahun 2008.

Di atas saya telah menerangkan bahawa tambahan subsidi minyak sebanyak RM6.8bil bukan suatu yang mustahil jika dibandingkan dengan perbelanjaan kerajaan persekutuan sebelum ini. Saya tidak perlu ulang bagaimana kerajaan persekutuan membazirkan puluhan billion setiap tahun kerana kelemahan pengurusan agensi kerajaan didalam projek pembinaan, bekalan aset dan tawaran perkhidmatan melalui tender kerajaan. Kawan-kawan boleh rujuk artikel saya sebelum ini dan laporan audit yang keluar setiap tahun untuk menilai ketirisan dan kebocoran perbendaharaan negara.

Untuk pengetahuan kawan-kawan saya secara peribadi tidak menyokong pengurangan harga minyak atas beberapa sebab. Walaubagaimanapun saya tidak menentang usaha Pakatan Rakyat untuk mengurangkan bebanan harian rakyat terbanyak. Tidak dinafikan petrol dan diesel memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Pengangkutan ke tempat kerja memerlukan petrol, barangan yang dihantar ke seluruh negara memerlukan diesel maka harga minyak ini sangat berkait rapat dengan harga barangan. Impak penurunan harga minyak ini akan mempengaruhi harga barang walaupun mungkin minima tetapi ia tetap akan mengurangkan tekanan terhadap poket rakyat biasa. 

Saya cuma berharap Pakatan Rakyat jika dipilih mentadbir kerajaan persekutuan nanti, akan merangka pelan jangka masa panjang terhadap kebergantungan kita kepada subsidi. Harga minyak bukanlah akan tetap rendah dan tidak mustahil suatu hari nanti harga minyak akan naik mendadak seperti pada tahun 2008. Cadangan saya jika ditambah subsidi minyak RON95 dan diesel, patut dicukaikan minyak RON97 untuk menambah hasil kerajaan dan mengurangkan kesan tambahan belanja subsidi minyak. 

Saya menyeru kawan-kawan melihat secara keseluruhannya apa mesej dan dasar yang ingin  dibawa oleh Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional. Selama ini BN tidak jujur menyatakan jumlah sebenar subsidi minyak ditampung kerajaan hanya semata-mata takut Pakatan Rakyat dapat memikat hati rakyat. Masalah struktur asas ekonomi negara cuba dirungkai Pakatan Rakyat untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia dan perniagaan yang terlibat di Malaysia. Ini kali kita tukarlah. 

p/s: Artikel seterusnya menyentuh subsidi gas kepada TNB dan IPP. 

No comments:

Post a Comment