Sunday 2 June 2013

Sejuta Rumah Mampu Milik?


Di atas adalah janji-janji BN berkenaan perumahan mampu milik yang akan disediakan dalam tempoh masa lima tahun (2013-2018). Dua komponen terpenting dan paling menarik perhatian adalah membina 1,000,000 rumah mampu milik dalam tempoh 5 tahun dan juga memastikan harga rumah di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berada sekurang-kurangnya 20% dibawah harga pasaran. Adakah kerajaan benar-benar mampu melaksanakan janji-janji berikut? Ataupun BN hanya sekadar berjanji bulan dan bintang?

SEJUTA RUMAH MAMPU MILIK

BN berjanji menyediakan sejuta rumah mampu milik yang akan digerakkan oleh sektor awam dan swasta dimana 500,000 buah rumah akan dibina dibawah skim PR1MA. 500,000 buah rumah lagi tidak diterangkan apakah mekanisme dan bagaimana kerajaan akan membiaya dan membina rumah-rumah tersebut. Dari segi tempoh masa membina sejuta perumahan dalam tempoh lima tahun ini, adakah ianya logik untuk menyiapkan sejuta rumah dalam masa 5 tahun atau lebih tepat 200,000 buah rumah setahun? Merujuk kepada Buletin Perangkaan Sosial 2012: hanya lebih kurang 65 ribu buah rumah siap dibina pada tahun 2011. Statistik ini juga termasuk bilangan rumah yang bukan dikategori di bawah 

Hanya lebih kurang 65 ribu buah rumah siap dibina pada tahun 2011. Statistik ini juga termasuk bilangan rumah yang bukan dikategori di bawah rumah mampu milik. Jadi dimanakah logiknya kerajaan boleh menyediakan 200,000 buah rumah mampu milik setahun sekiranya purata rumah siap mengikut statistik tahunan kurang daripada 100,000 buah setahun? Mari kita lihat pula berapa buah rumah kos rendah yang dibina kerajaan tahun lepas: 


Keseluruhan rumah kos rendah termasuk pangsapuri kos rendah yang siap dibina pada tahun 2011 tidak lebih daripada 5,000 buah rumah? Jadi adakah anda yakin kerajaan betul-betul mampu membina sejuta rumah mampu milik (termasuk kos rendah) dalam masa lima tahun? Apakah yang akan dikompromi sekiranya kerajaan benar-benar ingin melaksanakan janji membina 1 juta rumah mampu milik? Apakah kualiti rumah-rumah ini berada di tahap piawaian rumah yang sesuai untuk diduduki? Adakah rumah-rumah yang akan dibina selamat untuk diduduki? Adakah persekitaran rumah-rumah yang akan disediakan kondusif dan selesa? Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh BN sendiri.

HARGA RUMAH 20% DI BAWAH HARGA PASARAN

Akujanji BN tidak menerangkan berapa harga sebuah rumah mengikut harga pasaran. Oleh yang demikian saya menggangar kos sebuah rumah sejumlah dengan purata harga pasaran RM300,000, ini bermakna sekurang-kurangnya harga rumah dibawah skim PR1MA ini akan berada pada julat RM200,000-RM250,000. Sekali lagi BN tidak menerangkan mekanisme apa yang akan digunakan untuk menjadikan harga rumah dibawah skim PR1MA ini berada 20% dibawah harga pasaran. 

Adakah harga rumah ini akan disubsidi secara terus oleh kerajaan? Jika harga rumah akan disubsidi oleh kerajaan, bermakna ia akan melibatkan kos sebanyak RM60,000 kali sejuta rumah mampu milik bersamaan RM60bil. Adakah kerajaan mampu menyediakan RM12 billion setahun untuk menanggung subsidi rumah ini?

Jika kerajaan tidak bercadang menanggung subsidi harga rumah apakah metodologi lain yang akan digunakan? Adakah kerajaan bercadang menekan pemaju atau kontraktor perumahan untuk mengurangkan kos membina rumah mampu milik ini? Jika benar apa pula yang akan dikompromi oleh pemaju dan kontraktor? Apakah jaminan kualiti dan keselamatan rumah-rumah ini?

Kerajaan perlu menerangkan mekanisme atau cara bagaimana harga rumah mampu milik ini boleh diturunkan 20% di bawah harga pasaran. Dalam konteks melaksanakan janji ini, ianya samar-samar dan tidak telus. Lebih banyak persoalan yang timbul daripada jawapan. Bakal pembeli rumah dan juga industri perumahan berhak tahu cadangan pelaksanaan janji harga rumah dibawah pasaran ini.

PRESTASI KERAJAAN MEMBINA RUMAH

Apakah prestasi kerajaan & rekod kerajaan membina perumahan untuk kakitangan awam seperti polis, tentera, guru? Kita boleh menjadikan rekod ini sebagai tanda aras (benchmark) tentang kualiti rumah mampu milik yang bakal dibina. Gambar dibawah diambil daripada Laporan Ketua Audit Negara 2011

Kebocoran Ketara Pada Rumah Yang Baru Dibina
Bumbung Runtuh dan Paip Bocor
Unit Yang Baru Siap Dalam Keadaan Menyedihkan
Lokasi Perumahan Tidak Selamat dan Berbahaya

Diatas adalah prestasi kerajaan membina kuarters untuk diduduki penjawat awam. Selain daripada projek perumahan ini lewat disiapkan ia juga dikategorikan sebagai projek sakit dan mempunyai pelbagai masalah apabila sudah disiapkan. Apakah 1 juta rumah mampu milik yang akan disediakan kerajaan akan menerima nasib sebagaimana projek perumahan di atas? Adakah projek perumahan mampu milik juga akan dianugerahkan kepada kontraktor melalui rundingan terhad atau rundingan terus (direct nego)? Kita sedia maklum bahawa pemberian tender melalui direct nego tidak akan menguntungkan sesiapa malah pada akhirnya akan menambahkan kos dan akhirnya akan ditanggung oleh pembayar cukai. 

PERSOALAN

BN sering memperlekehkan Pakatan Rakyat kononnya Pakatan Rakyat menjanjikan bulan dan bintang sedangkan idea janji mereka sendiri nampak tidak logik dan tidak mampu untuk dilaksanakan. BN menjanjikan angka-angka besar seperti sejuta perumahan mampu milik dalam masa lima tahun berbanding Pakatan Rakyat menjanjikan 400,000 buah rumah mampu milik yang lebih logik dan berasas. Selain daripada itu BN juga mementingkan kuantiti daripada kualiti, lihat saja kualiti kuarters dan perumahan awam yang dibina berada dalam kedaaan daif dan menyedihkan.

Memiliki rumah adalah impian hampir semua rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda yang sudah berkeluarga. Perumahan dan persekitarannya memainkan peranan yang penting untuk membina masyarakat yang sihat dari segi sosioekonomi. Janji menyediakan perumahan mampu milik tidak harus menumpukan pada kuantiti semata-mata ia juga perlu menumpukan aspek kualiti dan persekitaran. Rumah yang didiami mestilah menepati piawaian minima yang selamat, selesa dan kondusif. 

p/s: Bagaimana nak bina sejuta rumah mampu milik jika Menteri Besar Terengganu hanya akan membina perumahan mampu milik di kawasan yang dimenangi BN sahaja? : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TerengganutidakbercadangteruskankhidmatPegawaiPembangunandikawasanBNkalah/Article/