Sunday 19 May 2013

Surat Terbuka Kepada Pejuang Melayu.

Kehadapan pejuang melayu tulen yang gagah lagi perkasa,

Pasca PRU13 menyaksikan parti keramat United Malays National Organisation mengekalkan kuasa mereka di peringkat persekutuan. Maka bersoraklah anda semua kerana umat melayu berjaya mengekalkan ketuanan mereka di atas bumi Malaysia ini. Biar kalah undi popular, asalkan kerusi yang dimenangi cukup untuk membentuk kerajaan. Tanpa UMNO terhapuslah segala hak istimewa melayu dan berkuasalah kaum pendatang di bumi bertuah ini.

Pejuang-pejuang melayu seperti anda berjuang habis-habisan agar umat melayu sekalian akan terus makmur dan sejahtera. BR1M yang dijanjikan akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,200 adalah nikmat terbesar yang diberi kerajaan kepada umat melayu. Tak mengapa umat melayu tetap berada di kelompok termiskin di negara ini asalkan ketuanan melayu dikekalkan! 

Pejuang melayu yang hebat lagi disegani,

Anda harus kekalkan parti keramat UMNO di Malaysia agar tanah anda tidak dijual kepada orang asing. Tanah rizab melayu harus dijaga agar anak cucu anda semua ada tempat berteduh dan tidak dihalau diatas bumi sendiri. Jangan biar tanah melayu di bumi bertuah ini dijual kepada orang asing! Tanah rizab melayu 3 juta hektar selepas merdeka tinggal sejuta hektar sekarang. Ini yang kita perlu selamatkan. Takkan mahu merempat di tanah tumpah darah sendiri? Sia-sia berjuang demi memenangkan pejuang melayu tulen di PWTC. Tanah di Johor dibangunkan untuk kepentingan umat melayu!

Pejuang melayu harus terus berjuang menolak parti pendatang seperti DAP. Melayu (dan mamak) Pulau Pinang ditindas di Pulau Pinang. Semakin ramai melayu berhijrah ke tanah besar kerana dihalau secara sistematik oleh DAP. Sebelum DAP memerintah Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan yang juga cina. Melayu di bawah Gerakan hidup makmur dan sejahtera. DAP mahu membawa keluar Pulau Pinang dari Malaysia sama seperti Singapura dibawa keluar 48 tahun dahulu.




Pejuang melayu berdarah suci,


DAP berhasrat menghakis hak istimewa melayu. Di Gelang Patah ketua pendatang Lim Kit Siang mengalahkan bekas Menteri Besar Johor Dato' Ghani Othman. DAP sengaja memainkan api perkauman dengan meletakkan pemimpin chauvinisme di Gelang Patah. Sedangkan kerusi itu adalah kerusi UMNO! Salah kerusi MCA selama ini. Mengapa DAP bersifat kurang ajar di bumi kelahiran parti keramat ini?!



Sedarlah pejuang melayu sekalian. Jangan sekali terlena mahupun terleka. Gunung tinggi dimiliki cina dibina kasino. Pulau-pulau melayu dimiliki cina dibina resort percutian mewah. Lesen judi diberi kepada cina. Apa lagi yang tinggal kepada melayu? Sanggupkah kita perjudikan masa depan umat kita kepada pendatang?! Gunung, pulau, tanah diberi kepada pendatang. Siapa yang beri kepada mereka? DAP!

UiTM milik melayu, benteng terakhir pertahanan umat melayu. Mengapa cina mahu ia dibuka kepada semua kaum? UiTM adalah hak milik mutlak melayu! Pelajar antarabangsa diberi pengecualian di UiTM kerana mereka bukan kaum pendatang. Kita jangan sekali-kali tunduk kepada mereka!

Pejuang melayu agung sekalian,

Sudah tiba masanya kita bangkit menentang kaum pendatang. Sudah tiba masa kita mempertahan keagungan bangsa melayu. Jangan lagi tidur dan lena. Bangkitlah pejuang-pejuang melayu sekalian. Masa depan dan kelangsungan bangsa kita bergantung kepada parti keramat UMNO. Biar 50 tahun lagi tanah rizab melayu berkurang, biar 50 tahun lagi gunung, pulau dan tanah diserah kepada pendatang. Biar melayu terus menikmati BR1M dan berada dibawah kategori termiskin. Asalkan UMNO kekalkan ketuanan umat kita di bumi ini.

Terima kasih UMNO! Terima kasih pejuang melayu.

HIDUP MELAYU!

p/s: Baca dengan semangat berkobar-kobar. Sedarlah melayu sekalian. 

No comments:

Post a Comment