Saturday 18 May 2013

Hutang Negara Bahagian 2: Mengapa Hutang Kerajaan Tinggi?


oleh: Norman

Di bahagian pertama artikel tentang hutang negara sebelum ini saya menerangkan kepada kawan-kawan tentang apa itu hutang awam, bagaimana kerajaan meminjam dan trend hutang kerajaan Malaysia sejak tahun 90-an. Sesebuah negara berhutang bukanlah perkara yang asing atau tidak normal. Hampir keseluruhan negara didunia meminjam wang melalui hutang (bon) sama ada untuk menampung perbelanjaan tahunan kerajaaan atau untuk membuat pelaburan. Hutang mana-mana kerajaan yang tinggi berbanding KDNK negara tidak semestinya melambangkan negara tersebut berada dalam keadaan terhimpit atau akan mengalami kebankrapan. 
HUTANG AWAM NEGARA TERPILIH SETAKAT 2011

Harus diketahui bahawa perbandingan hutang kerajaan Malaysia dengan mana-mana negara adalah kerja yang tidak bijak. Tidak semestinya sebuah negara itu berhutang tinggi mereka tidak mengurus ekonomi dengan baik juga sebaliknya, tidak semestinya negara yang mempunyai hutang kerajaan yang rendah ekonomi mereka diurus dengan baik. Perbandingan hutang kerajaan Malaysia dengan hutang kerajaan negara lain kebiasaannya tidak mengambil kira berapa KDNK mereka, kekuatan ekonomi mereka, populasi negara dan sebagainya. Walaupun hutang kerajaan Singapura tinggi dan melebihi 100% berbanding KDNK mereka tidak menggunakan hutang yang diterbitkan untuk menampung perbelanjaan negara. Hutang (bon) di Singapura digunakan untuk pelaburan oleh syarikat milik kerajaan Singapura seperti Temasek dan juga agensi wang pencen pekerja Singapura CPF (seperti KWSP di Malaysia): 

PERBELANJAAN LEBIHAN KERAJAAN SINGAPURA *KECUALI 2010
Lihat jadual diatas bagaimana kerajaan Singapura mempunyai perbelanjaan lebihan (hasil>perbelanjaan) tiap-tiap tahun kecuali tahun 2010  bagaimanakah hutang kerajaan Singapura berada pada paras 106% daripada KDNK jika belanjawan mencatat lebihan? Berbanding Malaysia yang berhutang untuk menanmpung perbelanjaan, Singapura berhutang untuk menampung permintaan pelaburan oleh CPF dan pelabur asing.

Krisis ekonomi Eropah

Pada tahun 2007 ekonomi global melanda kemelesetan terburuk dalam sejarah peradaban moden. Krisis ekonomi ini berpunca dari krisis di USA akibat masalah pinjaman subprima yang seterusnya memberi kesan kepada ekonomi di Eropah. Kesan kemelesetan ekonomi USA menggugat keyakinan para pelabur terhadap kekuatan ekonomi negara-negara di Eropah. Sebelum krisis ekonomi global pada tahun 2007-2008 kebanyakan negara di Eropah mempunyai hutang kerajaan pada paras yang tinggi iaitu 60%-90% berbanding KDNK. Ia dianggap normal kerana ekonomi di Eropah sebelum krisis adalah rancak dan pesat: 


HUTANG DI NEGARA EROPAH SEJAK TAHUN 95

Selepas 2008 keyakinan pelabur termasuk peminjam bon (hutang) kerajaan di negara-negara Eropah seperti Greece, Portugal, Spain, Ireland menurun mendadak. Akibatnya kebanyakan peminjam bercadang untuk menebus hutang kerajaan negara-negara (memohon bayaran balik hutang) ini menjadikan kadar faedah (interest rate) untuk bon yang diterbitkan meningkat secara mendadak lalu menjadikan kos untuk membayar kadar faedah bon semakin tinggi dan ia menambah beban kewangan kerajaan negara-negara tersebut. 

Kita sering melihat bagaimana sesetengah pihak membandingkan masalah hutang di Greece, Spain, Ireland dan sebagainya. Tidak dinafikan paras hutang yang tinggi di negara tersebut menyumbang kepada krisis ekonomi yang berlaku sekarang walaubagaimanapun berbeza dengan Malaysia, negara-negara tersebut tidak mempunyai kuasa penuh terhadap sistem kewangan negara mereka. Sistem satu matawang (uni-currency) Euro yang digunapakai kebanyakan negara di Eropah menyebabkan mereka tidak boleh mengawal bekalan wang (money supply) atau bahasa mudahnya tidak dapat mencetak wang mereka sendiri. Matawang Euro dikawal oleh satu agensi pusat iaitu European Central Bank (ECB) yang diseliakawal bersama oleh semua negara yang menggunakan matawang Euro. Ini menjadikan krisis di Greece semakin buruk dan paras hutang mereka semakin meningkat kerana mereka tidak dapat mengawal bekalan wang untuk negara mereka sendiri. ECB juga berperanan mengawal kadar faedah yang sangat penting sebagai mekanisme untuk menangani kelembapan ekonomi.

Berbanding di Malaysia, negara kita mempunyai Bank Negara Malaysia yang mempunyai kebebasan untuk mengawal bekalan wang, kadar faedah seterusnya boleh bertindakbalas terhadap kelembapan ekonomi luaran dan dalaman. Jadi untuk menggambarkan bahawa Malaysia bakal menjadi seperti Greece, Spain atau Ireland adalah tidak sesuai sama sekali kerana struktur ekonomi dan kewangan kita yang berbeza dengan mereka.

Realiti Hutang Negara


Hutang negara dikatakan berada pada paras kritikal kerana hampir mencecah had siling  hutang negara iaitu 55% daripada KDNK negara. Akta Pinjaman Tempatan (1959) mengehadkan hutang negara pada had siling 55% walaubagaimanpun ia boleh dipinda bila-bila masa jika mendapat sokongan majoriti di parlimen. Ini bermakna had hutang negara bukanlah suatu tanda aras samada paras hutang kerajaan itu berada di paras bahaya atau tidak.



Walaubagaimanapun ini bukanlah alasan untuk kerajaan berhutang dengan sewenang-wenangnya. Rakyat seperti kita berhak tahu apa tujuan kerajaan meminjam dengan banyak dan kemana pergi wang yang dipinjam itu. Saya seringkali memberitahu kawan-kawan bahawa isu yang paling UTAMA yang patut ditumpukan oleh kita semua adalah apa yang dibelanjakan oleh kerajaan, apa hasil kerajaan berhutang dan sebagainya. Berhutang untuk pembangunan negara itu dibenarkan tapi benarkah wang pinjaman benar-benar disalurkan untuk pembangunan yang akan membawa faedah kepada negara dan rakyat?

Laporan Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai jenis pembaziran atas nama projek pembangunan, belian aset kerajaan dan sebagainya. Disamping itu kerajaan juga seringkali terlebih belanja daripada jumlah belanjawan yang diperuntukkan. Rujuk Laporan Ketua Audit Negara 2011: 
HAMPIR RM20bil TERLEBIH BELANJA PADA TAHUN 2011

Jadi mengapakah kerajaan persekutuan meminjam dan berhutang sedangkan tiap-tiap tahun berlaku pembaziran sehingga menyebabkan kerajaan sentiasa berbelanja melebihi daripada jumlah wang yang diperuntukkan. Contoh-contoh pembaziran yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara: 
PROJEK JALAN BERNILAI RATUS JUTAAN RINGGIT TENAT

PERUNTUKAN KEPADA UNIVERSITI TAPI PROJEK TAK DILAKSANA

PROJEK BERNILAI JUTAAN RINGGIT DENGAN TENDER TERHAD ATAU RUNDINGAN TERUS

Diatas adalah contoh-contoh pembaziran kerajaan persekutuan seperti projek pembangunan yang sakit, pemberian tender terhad dan tidak terbuka dan sebagainya. Banyak lagi pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan yang mana nilai yang dibazirkan ini boleh mencecah puluhan billion setiap tahun jadi kenapa kerajaan perlu meminjam dan berhutang? Anda juga boleh melihat senarai pembaziran kerajaan negeri dibawah BN di: Audit MelakaAudit JohorAudit Sabah dan Audit Sarawak

Setiap tahun perbelanjaan kerajaan persekutuan untuk membayar faedah keatas hutang kerajaan adalah semakin meningkat dan hampir mencecah RM20bil setiap tahun. Rujuk laporan ketua audit negara dibawah: 

Oleh sebab hutang yang semakin meningkat kerajaan terpaksa menanggung bayaran faedah tahunan yang semakin tinggi. Jika segala kebocoran dan ketirisan dapat dielakkan, sudah tentu kerajaan tidak perlu meminjam dengan lebih banyak malah kerajaan boleh mula membayar hutang-hutang dengan lebih awal seterusnya mengurangkan jumlah hutang negara.

Kerajaan persekutuan sering berdolak dalih tentang bahawa kerajaan perlu berjimat dan selalunya yang akan dikorbankan adalah subsidi kepada rakyat. Apabila ingin berjimat pertama yang akan dipotong adalah subsidi kepada rakyat. Kerajaan tidak pernah berbicara tentang pembaziran puluhan billion tiap-tiap tahun dan bagaimana kerajaan seringkali terlebih belanja (overspent). Akhirnya rakyat juga yang menjadi mangsa akibat pemotongan subsidi. Hutang kerajaan terus juga meningkat saban tahun. 

Projek gagal sepeti PKFZ, NFC, bail-out kepada Perwaja, MAS yang melibatkan billion-billion ringgit menyumbang kepada kenaikan perbelanjaan kerajaan. Kesudahannya rakyat (pembayar cukai) juga yang terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang akibat projek-projek mega yang gagal dan 'projek' bail-out kroni ini.

Teori Ekonomi Keynesian

Teori ekonomi Keynesian menyatakan apabila ekonomi negara meleset, kerajaan haruslah berbelanja lebih daripada biasa untuk menampung kekurangan pelaburan yang ditinggalkan oleh sektor swasta apabila ekonomi meleset. Sepatutnya kerajaan mengurangkan hutangnya apabila ekonomi bertambah baik dan semakin berkembang. Anda sudah lihat bagaimana dibawah Dato Sri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan (1990-1997), beliau menurunkan hutang negara kerana ekonomi negara yang semakin berkembang: 


Apabila krisis ekonomi melanda pada tahun 1997 (DSAI dipecat), kerajaan mula berbelanja lalu meningkatkan hutang, tetapi apabila ekonomi mula berkembang pada awal 2000 kerajaan tidak mengurangkan perbelanjaan malah hutang kerajaan semakin bertambah sehingga sekarang. 

Kesimpulan

Di bahagian pertama artikel tentang hutang negara saya menerangkan apa itu hutang kerajaan dan bagaimana kerajaan meminjam dan berhutang. Di bahagian artikel ini saya menerangkan perbezaan krisis hutang di Eropah seperti Greece, Spain dan Ireland dan juga pembaziran kerajaan persekutuan dalam mengurus perbendaharaan negara. Objektif atau fokus utama kita sebagai rakyat haruslah tertumpu kepada BAGAIMANA kerajaan membelanjakan wang negara dan KE MANA  wang itu dibelanjakan. Segala pembaziran, kebocoran dan ketirisan ini menyumbang kepada kenaikan pinjaman dan hutang kerajaan setiap tahun. 

Memang paras hutang kerajaan berbanding KDNK masih lagi pada paras yang selesa walaubagaimanapun kerajaan tidak harus terus berbelanja sewenang-wenangnya apatah lagi membazir  wang dengan menanggung hutang kroni. Rakyat mahukan kerajaan yang telus memberi tender projek secara terbuka kepada kontraktor yang benar-benar layak dan bukan kontraktor rakan-rakan atau kroni terdekat. Hutang kerajaan boleh diturunkan sekiranya setiap wang kerajaan dibelanja dengan berhemah dan bernilai untuk setiap ringgit.

Kebobrokan Barisan Nasional sebagai kerajaan selama lebih 50 tahun membazir ratusan billion tiap-tiap tahun haruslah ditentang oleh semua rakyat Malaysia. Dalam tempoh 5 tahun seterusnya kita tidak tahu projek mega apa pula yang akan dijalankan kerajaan dan berapa pula perbelanjaan dan hutangnya nanti. Ingat, hutang negara bukan hal utama, yang PALING penting bagaimana wang negara dibelanjakan kerajaan.

No comments:

Post a Comment